Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

92) BENTENG PENGHALANG PASIR

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan bilakah pihak Kerajaan Negeri akan memanjangkan lagi benteng penghalang pasir di pantai Bagan Sekinchan demi untuk lebih berkesan menghalang pasir daripada masuk ke muara Sungai Sekinchan?

    Berdasarkan peruntukan yang disalurkan kepada pihak JPS, pembinaan groin atau
    benteng penghalang pasir telah mula dibina pada 12 Ogos 2009 dan siap dilaksanakan
    sepanjang 50 meter pada 7 Oktober 2009 dengan kos RM145,050.00. Pembinaan
    struktur groin ini adalah untuk menghalang pasir laut daripada masuk ke muara Sungai
    Sekinchan yang akan menyebabkan pemendapan dan kawasan muara ini cetek.
    Keadaan ini boleh mengganggu laluan kapal-kapal nelayan.
    Cadangan untuk memanjangkan benteng penghalang pasir (groin) tidak boleh
    dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya tanpa kajian hidraulik yang terperinci.
    Sekiranya tiada kajian hidraulik dibuat dan pembinaan struktur groin dipanjangkan ia
    boleh mengancam perseimbangan proses semula jadi di kawasan pantai serta
    menyebabkan masalah hakisan/pemendapan di muara sungai, kerosakan kepada
    sistem ekologi laut serta sistem akuakultur dan pencemaran air. Oleh yang demikian,
    penilaian impak yang terperinci ke atas projek memanjangkan benteng penghalang pasir
    (groin) harus dijalankan setara dengan bentuk dan saiz projek (groin) tersebut terlebih
    dahulu.

  2. Sila nyatakan apakah kaedah jangka panjang yang lebih berkesan bagi menghalang pasir daripada terus masuk ke muara Sungai Sekinchan?

    Bagi jangka masa panjang, terdapat beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan
    berdasarkan keadaan kawasan pantai di Sekinchan. Untuk menentukan kaedah yang
    paling berkesan, pihak Jabatan akan menjalankan kajian yang lebih terperinci.

    MAKLUMAT TAMBAHAN
    SOALAN SESI PERBAHASAN BAJET PEMBANGUNAN DARIPADA
    Y.B. TUAN NG SUEE LIM
    (SEKINCHAN)
    Bagi langkah jangka pendek, projek bagi menyambung lagi 50 meter groin sedia ada
    yang telah dibina pada tahun 2009 ini telah dirancang untuk dijalankan dalam bulan April
    2010 dengan anggaran kos RM150,000.00, dan ini menjadikan panjang groin tersebut
    adalah 100 meter. Kerja-kerja ini akan dapat membantu mengurangkan dan
    memperlahankan jumlah pemendapan pasir di muara Sg. Sekinchan.
    Bagi langkah jangka panjang, dan menjadikan projek tersebut mendapat impak yang
    lebih berkesan, satu kajian hidraulik akan dijalankan yang mana cadangan kajian ini
    telah dimasukkan di dalam permohonan bajet bagi Rancangan Malaysia Ke-10. Skop
    kerja bagi permohonan ini merangkumi kerja-kerja ukur dan kejuruteraan, reka bentuk
    dan pembinaan groin dan pengorekan muara sungai yang mana anggaran kos adalah
    RM3.0 juta. Projek ini dijangka akan dilaksanakan dalam tahun 2011 hingga 2013.
    Antara permohonan lain yang melibat pembangunan dan pengurusan di kawasan pantai
    dan muara sungai adalah Kajian ISMP (Integrated Shoreline Management Plan) yang
    mana kajian ini merangkumi keseluruhan kawasan pesisiran pantai Negeri Selangor dan
    cadangan pembangunan berdasarkan keadaan sedia ada pantai.

Lampiran

Tiada Lampiran.