Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

9) BENCANA BANJIR BESAR 2021

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan bagi mengurangkan risiko banjir seperti yang terjadi pada 17 Disember 2021 yang lalu?

    Soalan (a) telah dijawab bersekali dengan soalan daripada Y.B Puan Elizabeth Wong Keat Ping (N37 Bukit Lanjan) di (Soalan No. 1)

    Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya banjir besar di Negeri Selangor pada 17-19 Disember 2021 adalah seperti berikut:-

    i. Taburan hujan luar biasa melebihi 300mm menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak mampu untuk menampung kapasiti air larian yang tinggi.
    ii. Pertembungan air laut pasang tinggi semasa hujan menyebabkan air lebihan tidak dapat disalurkan terus ke laut.
    iii. Kedudukan kawasan topografi yang rendah berbanding paras air sungai.
    iv. Pengoperasian rumah pam dan pintu kawalan air terpaksa dihentikan akibat terputus laluan perhubungan dan bekalan elektrik.
    v. Peningkatan zon pembangunan tanah mengurangkan tahap ketelapan air dan menyebabkan air larian yang tinggi.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui JPS telah membuat perancangan pengurusan banjir melalui 2 kaedah iaitu langkah struktur dan langkah bukan struktur dalam menangani isu banjir pada masa akan datang.
    Langkah struktur melibatkan projek tebatan banjir yang merangkumi komponen seperti berikut:-

    i. Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir.
    ii. Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat.
    iii. Pembinaan pintu kawalan air dan rumah pam yang diintegrasikan dengan Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data Berkomputer (SCADA) bagi pintu air di kawasan yang berisiko tinggi mengalami banjir. Pintu Air ini akan dikawal secara automatik dan juga boleh dikawal serta dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.
    iv. Melebar dan mendalamkan sungai.
    v. Menaiktaraf sistem saliran.

    Langkah bukan struktur pula terdiri daripada komponen-komponen seperti berikut:-

    i. Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang berupaya meramal kejadian banjir monsun 7 hari lebih awal, memberi amaran banjir monsun 2 hari lebih awal, ketepatan ramalan aras air (+/- 0.5m) dan ramalan banjir kilat 1-3 jam lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, PRAB juga berupaya memberi amaran dan hebahan banjir monsun dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir. Perolehan program ini telah bermula pada September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2024. Program ini merangkumi pengesanan, ramalan, amaran dan hebahan.
    ii. Pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi termasuk Sistem Siren Amaran Banjir untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.
    iii. Pembangunan Sistem Pemantauan Banjir melalui laman web Infobanjir Negeri Selangor untuk memberi amaran awalan banjir kepada orang awam mengenai status paras air sungai, taburan hujan dan kamera pemantauan status banjir.
    iv. Penggunaan garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menetapkan keperluan mandatori yang perlu dipatuhi bagi pembangunan baru di kawasan bandar.
    v. Pendekatan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu dan Pengurusan Banjir Bersepadu bagi rancangan pengurusan banjir. Ini akan memberikan pendekatan yang lebih seimbang antara langkahlangkah struktur dan bukan-struktur serta tahap penyertaan masyarakat yang lebih tinggi.
    vi. Kajian Lembangan Sungai dan Tebatan Banjir serta Kajian Pelan Induk Saliran.
    vii. Pengurusan kawasan tadahan yang merangkumi kawalan pembangunan, pemeliharaan tanah dan pengurusan penggunaan tanah tinggi.
    viii. Peta Hazard Banjir yang digunakan untuk tujuan penilaian risiko bagi mengurangkan kerugian akibat banjir.
    ix. Kajian semula keupayaan dan operasi empangan di bawah LUAS dan Syarikat Air Selangor untuk mengkaji kesesuaian Empangan Sg. Langat dan Empangan Sg. Semenyih digunakan untuk tujuan operasi kawalan banjir.

    Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM57.95 juta pada tahun 2022 kepada JPS untuk melaksanakan projek di bawah RMKe-12 (2021 – 2025) seperti berikut:-

    i. Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan kos tahun semasa RM12.0 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM253.15 juta.
    ii. Pembangunan Sistem Saliran dengan kos tahun semasa RM9.2 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM113.0 juta.
    iii. Pembangunan Lembangan Sungai dengan kos tahun semasa RM15.6 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM83.9 juta.
    iv. Pembangunan Sumber Air dan Hidrologi dengan kos tahun semasa RM1.2 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM6.0 juta.
    v. Pembangunan Saliran Mesra Alam dengan kos tahun semasa RM9.0 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM53.3 juta.
    vi. Pembangunan Pantai dengan kos tahun semasa RM5.2 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM24.9 juta.
    vii. Pembangunan Infrastruktur Mekanikal dan Elektrikal dengan kos tahun semasa RM4.0 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM11.75 juta.

    Tindakan susulan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui JPS dalam tempoh terdekat adalah dengan melaksanakan kerja-kerja pasca banjir seperti berikut:-

    i. 37 kerja segera berjumlah RM39.675 juta yang merangkumi skop mengorek sungai, pengorekan kolam dan perolehan pam bergerak.
    ii. 12 kerja-kerja kritikal berjumlah RM9.18 juta yang merangkumi skop membaikpulih ban dan perolehan genset dan sistem siren.
    iii. 92 kerja-kerja pasca banjir berjumlah RM45.86 juta menggunakan peruntukan Pembangunan Negeri yang merangkumi skop kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan tebing sungai, penyelenggaraan sungai dan pantai serta kerja-kerja penyelenggaraan rumah pam dan pintu air.
    iv. 80 kerja-kerja pasca banjir berjumlah RM20 juta menggunakan peruntukan Pembangunan Persekutuan yang merangkumi skop pemuliharaan sungai.

  2. Apakah tindakan yang akan diambil terhadap individu yang membuat tuntutan palsu Bantuan Selangor Bangkit (BSB)?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) telah membuat beberapa langkah kutipan semula kepada individu yang menerima lebih daripada sekali Bantuan Selangor Bangkit (BSB). Bagi mereka yang membuat tuntutan palsu, pihat PDT telah membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuhnya tindakan tersebut bagi siasatan pihak berkuasa.

  3. Adakah BSB telah selesai dibayar kepada semua mangsa banjir?

    Sehingga 28 Februari 2022, seramai 114,081 keluarga telah menerima agihan BSB. Mulai 1 Mac 2022, PDT akan menguruskan penyaluran BSB secara Electronic Fund Transfer (EFT) kepada mereka yang tidak dapat hadir ke sesi agihan yang telah dibuat sebelum ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.