Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

175) BELANJAWAN SELANGOR 2024

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status perbelanjaan Negeri setakat ini?

    Untuk makluman YB Batu Tiga, prestasi perbelanjaan Kerajaan Negeri ketika ini masih berjalan mengikut perancangan. Sehingga 25 Jun 2024, sebanyak RM1,161.68 Juta telah dibelanjakan untuk Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan. Angka ini bersamaan dengan 44.09 peratus daripada RM2,635 Juta yang telah dibelanjawankan tahun 2024 ini. Daripada jumlah RM1,161.68 Juta yang telah dibelanjakan, sebanyak RM723.29 Juta telah dibelanjakan untuk mengurus manakala selebihnya sebanyak RM438.39 Juta telah dibelanjakan untuk Pembangunan. Untuk makluman YB Batu Tiga, Belanjawan 2024 telah memperuntukkan sebanyak RM1,435.00 Juta untuk perbelanjaan Mengurus, manakala perbelanjaan Pembangunan pula telah diperuntukkan sebanyak RM1,200.00 Juta. Ini bermakna, sehingga 25 Jun 2024, prestasi perbelanjaan mengurus telah mencecah 50.40 peratus daripada jumlah yang telah diperuntukkan manakala prestasi perbelanjaan Pembangunan pula telah mencecah 36.53 peratus.

  2. Bagaimanakah perancangan negeri untuk mengatasi Belanjawan defisit 2024 sebanyak RM330juta?

    Kerajaan Negeri telah melakukan usaha-usaha bagi meningkatkan kutipan hasil dan mengenal pasti sumber-sumber hasil baharu yang berpotensi. Kerajaan Negeri sedar akan kepentingan mempunyai ketahanan kewangan jangka panjang dan risiko-risiko ketidaktentuan disebabkan oleh tekanan inflasi dan perubahan iklim yang boleh memberi kesan kepada prestasi kewangan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri turut melaksanakan kawalan perbelanjaan ke atas peruntukan yang telah diluluskan bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan adalah pada tahap yang optimum dan memberikan impak sebagaimana diharapkan. Perbelanjaan yang optimum dan kutipan hasil Negeri yang cekap, berupaya untuk meningkatkan Rizab Negeri, mengecilkan defisit sehingga mencapai lebihan dalam prestasi kewangan (surplus). Suka diingatkan juga bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa memastikan kawalan perbelanjaan yang dilaksanakan ini tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dirancang atau sedang dilaksanakan. Kerajaan Negeri berasa yakin melalui langkah-langkah kawalan perbelanjaan yang strategik dan berhemah akan dapat mengecilkan defisit ini pada akhir tahun.

    Langkah-langkah ini tidak akan menjejaskan usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat Selangor secara keseluruhannya.

Lampiran

Tiada Lampiran.