Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018
41) BEKAS PEKERJA LADANG DI SELANGOR
Tahun: 2018
Sesi: 1
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah isu perumahan merupakan isu utama bekas pekerja ladang di Selangor? Jika ya, nyatakan butir-butirnya
Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Kubu Baharu di atas keprihatinan dalam bertanyakan soalan melibatkan kebajikan bekas – bekas pekerja ladang di Negeri Selangor. Untuk makluman Yang Berhormat Kuala Kubu Baharu, pemilikan rumah sendiri menjadi satu keperluan dan aset terpenting bagi setiap keluarga. Justeru itu, tidak dinafikan isu perumahan adalah merupakan salah satu isu utama yang dihadapi oleh bekas – bekas pekerja ladang di Negeri Selangor yang sering dibangkitkan. Pekerja ladang dan bekas pekerja ladang boleh dikategorikan sebagai antara golongan yang miskin dan kurang berkemampuan. Sebilangan besar bekas – bekas pekerja ladang di negeri ini yang telah bersara daripada kerja – kerja sektor perladangan tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri. Semasa khidmat mereka sebagai pekerja ladang, kebiasaannya majikan telah menyediakan kemudahan asas termasuklah kuarters perumahan di kawasan ladang selagi mana mereka masih berkhidmat di ladang tersebut dan kemudahan tersebut perlu dipulangkan semula selepas mereka telah bersara.
Salah satu punca bekas – bekas pekerja ladang di negeri ini tidak memiliki rumah adalah disebabkan kurangnya pendedahan dan kesedaran tentang pentingnya memiliki rumah sendiri disamping kos pemilikan sebuah rumah sendiri adalah diluar kemampuan mereka kerana pendapatan mereka yang rendah. Kebanyakan daripada mereka hanya meneruskan tradisi nenek moyang mereka yang lebih selesa mendiami rumah kuarters yang telah disediakan oleh majikan pada ketika itu.
Oleh yang demikian, sebilangan besar bekas – bekas pekerja ladang terpaksa menyewa rumah dengan kadar yang mahal bagi menempatkan keluarga mereka. Terdapat segelintir daripada bekas – bekas pekerja ladang terpaksa menjadi peneroka tanah kerajaan tanpa kebenaran untuk dijadikan sebagai tapak perumahan dan penempatan bagi meneruskan kehidupan mereka.
Turut terkesan daripada perkembangan ekonomi dan pembangunan yang begitu pesat, kawasan – kawasan ladang turut menjadi tumpuan bagi membangunan kawasan berkenaan dengan pembangunan yang lebih moden dan tersusun. Secara tidak langsung, pekerja ladang dan bekas pekerja ladang terpaksa berpindah keluar daripada kawasan berkenaan bagi memberi ruang kepada pembangunan baru tersebut.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri melalui Estate Land Board (ELB) sentiasa berusaha dan berbincang bagi mendapatkan bantuan – bantuan seumpamanya untuk mengatasi masalah melibatkan pemilikan rumah kepada bekas – bekas pekerja ladang di kawasan ladang yang akan dibangunkan. Namun begitu, Kerajaan Negeri tidak dapat mengarahkan dan membantu secara mutlak berhubung semua isu pemilikan perumahan oleh pekerja ladang dan bekas – bekas pekerja ladang memandangkan terdapat perjanjian yang dipersetujui diantara majikan, pekerja ladang dan pemaju yang berkenaan adalah merupakan diluar kawalan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Estate Land Board senantiasa memohon bantuan perumahan pekerja ladang diwajibkan kepada setiap majikan dan pemaju bagi membela nasib bekas pekerja ladang yang terlibat.
Sebagai alternatif, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS) diwujudkan khusus untuk membantu rakyat dengan tidak mengira kaum untuk mendapatkan sebuah aset kediaman dengan harga yang mampu milik. Permohonan bagi mendapatkan Rumah Selangorku adalah terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor berdasarkan kelayakan.
-
Adakah Kerajaan Selangor bercadang mewujudkan skim sewa rumah kepada bekas pekerja ladang atau warisnya? Jika tidak, nyatakan sebab-sebabnya.
Kerajaan Negeri Selangor tidak bercadang untuk mewujudkan skim sewa rumah khusus kepada bekas pekerja ladang atau warisnya kerana Skim Smart Sewa telah diwujudkan dan boleh dimohon oleh mereka yang berkelayakan. Buat masa ini, Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan penyewaan rumah PPR dan Skim Smart Sewa. Di antara syarat – syarat kelayakannya adalah seperti berikut :
Rumah PPR
- Warganegara Malaysia
- Berumur 18 tahun ke atas
- Telah berkeluarga dan mempunyai tanggungan
- Pendapatan seisi keluarga kurang dari RM3,000.00
- Pemohon dan suami / isteri tidak memiliki tanah atau rumah dalam daerah atau mukim yang sama
Skim Smart Sewa
- Pemohon dan pasangan warganegara Malaysia
- Berumur 18 tahun ke atas dan berkeluarga / mempunyai tanggungan
- Pendapatan seisi keluarga :
- Tidak melebii RM5,000.00 sebulan dan ke bawah bagi Rumah Jenis A / Kos Rendah
- Tidak melebihi RM15,000.00 sebulan dan ke bawah dengan keutamaan diberikan kepada pendapatan kurang daripada RM10,000.00 sebulan bagi Rumah Jenis B, C, dan D / Kos Sederhana / Sederhana Rendah
- Pemohon atau pasangan tinggal / bekerja di Selangor
- Pemohon tidak memiliki kediaman di Selangor atau mempunyai kediaman melebihi 50km daripada tempat sewa dipohon dengan syarat tempat kerja pemohon dalam lingkungan 25km perjalanan
- Pemohon merupakan pengundi di Negeri Selangor