Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
219) BEKALAN TENAGA
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam pembekalan tenaga bagi menampung permintaan yang bertambah dalam Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor sedar bahawa permintaan terhadap bekalan tenaga akan bertambah kerana negeri Selangor merupakan tumpuan aktiviti-aktiviti ekonomi seperti perkilangan, pembuatan, perkhidmatan dan perdagangan. Semua jenis industri ini memerlukan bekalan tenaga yang konsisten supaya aktiviti mereka tidak terjejas. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor telah menjalin kerjasama dengan Syarikat Q-Cell, sebuah syarikat yang menghasilkan wafer dan sel solar dari Jerman bagi menghasilkan produk berkaitan sistem solar. Syarikat ini telah menempatkan kilang-kilang di Taman Sains Selangor 2 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 2.6 bilion sebagai pelaburan awal. Melalui usaha ini, pembekalan tenaga boleh dijana melalui sumber tenaga alternatif.
-
Apakah usaha mempromosi dan tingkatkan kesedaran kepada penggunaan rendah karbon dalam pengangkutan, penggunaan domestik dan industri?
Usaha terkini Kerajaan Negeri Selangor dalam mempromosi dan meningkatkan kesedaran kepada penggunaan rendah karbon dalam pengangkutan, penggunaan domestik dan industri telah pun dijalankan melalui Selangor Conference On Alternative And Renewable Energy 2009 (SelCARE’09) pada 15 Oktober 2009 yang bertujuan untuk :
- Mempersiapkan Selangor untuk menjadi perintis di dalam perancangan dan pembangunan sumber tenaga alternatif dan tenaga yang diperbaharui;
- Memahami peluang dan cabaran di dalam membangunkan sumber tenaga alternatif dan tenaga yang diperbaharui;
- Mengenal pasti manfaat dan impak daripada penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui dan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui;
- Mengenal pasti teknologi yang sesuai serta kos efektif di dalam membangunkan sumber tenaga alternatif dan tenaga diperbaharui di Selangor; dan
- Menyediakan platform bagi perbincangan bertukar pendapat dan idea di antara semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam pembangunan dan pelaksanaan Dasar Tenaga Negara.
Kerajaan Negeri Selangor akan terus melaksanakan program promosi seperti ini kerana ia mampu mendedahkan dan memberi kesedaran kepada orang awam mengenai penggunaan tenaga alternatif kepada penggunaan domestik dan industri.