Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

20) BEKALAN AIR MENTAH

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan dan strategi kerajaan negeri untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi di masa hadapan?

    Perancangan dan strategi Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi di Negeri Selangor untuk masa hadapan adalah dengan melibatkan beberapa kaedah pelaksanaan seperti berikut:

     

    Pembangunan projek Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) merupakan fasa pertama daripada keseluruhan projek pembangunan sumber air di Kuala Selangor. Ia melibatkan takungan lebihan air dari Sungai Selangor dan juga air bumi dari akuifer bawah tanah yang berkenaan. Bagi Fasa Pertama, keluasan kolam yang terlibat ialah 163 hektar dengan kedalaman 27 meter yang akan disambung dengan akuifer bawah tanah. Anggaran kapasiti air mentah ialah 600 Juta Liter Hari (JLH). Projek ini dijangka siap pada bulan April 2015;

     

    Pembangunan Fasa Kedua melibatkan kolam takungan di Bestari Jaya dengan melibatkan keluasan 3,924 hektar dan 5 (lima) kolam sumber air. Ianya bertindak sebagai kolam mitigasi banjir yang dapat mengurangkan 50% kawasan yang dilanda banjir di bahagian hilir Sungai Selangor ketika aliran tinggi (high flow). Kapasiti takungan sumber air mentah adalah dianggarkan sebanyak 500 juta meter padu (Mm3). Perancangan untuk replikasi projek kolam takungan ini juga diperingkat kajian kebolehlaksanaannya bagi kolam tebatan banjir Sungai Rasau; dan

     

    Pelaksanaan Kajian Sumber Air Bumi Negeri Selangor bagi mengenalpasti akuifer yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber bekalan air dengan langkah pengawalan yang

  2. Apakah jaminan kerajaan bahawa sumber air mentah juga selamat dari segi kesihatan?

    LUAS merupakan agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber air di Negeri Selangor selaras dengan penguatkuasaan Enakmen LUAS 1999. Dalam pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM), usaha-usaha dan insiatif telah dilaksanakan pihak LUAS bagi memantau dan memastikan kualiti sumber air di setiap lembangan sungai mencukupi dan perlindungan serta pemuliharaan sumber air selaras dengan Enakmen LUAS 1999 adalah seperti berikut:

     

    Pihak LUAS telah melaksanakan pewartaan Mukim Pasangan sebagai Zon Perlindungan selaras dengan subseksyen 48(3), Enakmen LUAS 1999 pada 2 Julai 2009. Tujuan pewartaan ini adalah untuk mengawal aktiviti di rizab sungai, zon penampan, dan alam persekitarannya termasuk habitat kelip-kelip di jajaran tertentu di Sungai Selangor dalam Mukim Pasangan, Daerah Kuala Selangor. Sehubungan itu bagi memperkukuhkan lagi pengawalan aktiviti di rizab sungai, pihak LUAS telah dan sedang mewartakan sebahagian rizab sungai 50 meter di kiri dan kanan tebing sungai bagi Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara sebagai zon perlindungan. Terdapat beberapa anak sungai utama yang kini sedang dalam peringkat kerja ukur bagi tujuan pewartaan iaitu Sungai Sembah, Sungai Semenyih dan anak-anak Sungai Damansara.

     

    Beberapa peraturan juga telah dikuatkuasakan untuk mengawal aktiviti- aktiviti yang dijalankan berkenaan dengan sumber air. Antaranya adalah seperti berikut:

     

    Peraturan-peraturan Abstraksi Sumber Air (Negeri Selangor) 2012 untuk mengawal aktiviti abstraksi sumber air yang dijalankan;

     

    Peraturan-peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 bagi mengawal aktiviti-aktiviti yang melibatkan kemasukan atau pelepasan bahan pencemar yang tidak tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling oleh JAS;

     

    Peraturan-peraturan Navigasi Jalan Air Pedalaman (Negeri Selangor) 2012 dengan tujuan untuk mengawal aktiviti-aktiviti navigasi di sungai- sungai di Negeri Selangor; dan

     

    Peraturan-peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013 bagi mengawal aktiviti-aktiviti pengubahan sumber seperti pengorekan pasir, pembinaan jambatan dan juga

     

    Peraturan-Peraturan Pelencongan Air bagi Penjanaan Elektrik (Selangor)

     

    Terdapat beberapa peraturan lagi akan dikuatkuasakan dan ini memberi LUAS pelbagai kaedah untuk menguruskan sumber air negeri melalui pengawalan aktiviti secara mampan.

    Selaras dengan pelaksanaan pengurusan lembangan sungai bersepadu bagi tujuan pemeliharaan sumber air, pihak LUAS merupakan urusetia kepada beberapa Jawatankuasa seperti berikut:

     

    Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar. Jawatankuasa ini menyelaras tindakan bersepadu LUAS bersama agensi dan jabatan-jabatan lain yang berkenaan bagi menangani setiap kes kecemasan pencemaran sumber air di dalam jangka masa yang singkat. Antara kes yang yang telah berjaya ditangani dengan baik adalah pembuangan minyak oleh sebuah premis ke dalam Sungai Gong (anak Sungai Selangor) yang telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna di Lembah Klang dan Negeri Selangor; dan

     

    Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai Negeri Selangor dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Selangor dan Langat dipengerusikan oleh Pengarah LUAS. Kedua-dua jawatankuasa ini berperanan sebagai pusat sehenti bagi pelaksanaan tindakan bersepadu bersama agensi berkaitan dalam menangani isu-isu pencemaran dan isu lain yang melibatkan sumber air di Negeri Selangor. Melalui jawatankuasa ini juga, perbincangan mengenai penyelarasan tindakan dan penyelesaian yang bersesuaian dapat diambil. Disamping itu, pemantauan kualiti air secara bersepadu bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi status Indeks Kualiti Air (IKA) sungai dan juga pemantauan kualiti air minum oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri

     

    Pasukan Petugas Sumber Air Alternatif Negeri Selangor yang berfungsi untuk mengenal pasti tasik dan kolam-kolam bekas lombong yang sesuai dan selamat digunakan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Pasukan Petugas ini dipengerusikan oleh Pengarah LUAS dan dianggotai oleh agensi kerajaan dan pihak berkepentingan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Kimia, Pejabat Tanah dan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan anak syarikat kerajaan

     

    Pihak LUAS juga telah mengambil inisiatif melaksanakan Strategi Pengurusan Sungai Negeri Selangor dimana Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor telah meluluskan pemakaiannya kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi di Negeri Selangor. Strategi Pengurusan Sungai ini diwujudkan untuk menekankan dasar pembangunan dengan mengikut keadaan fizikal semula jadi sungai bagi memelihara dan mengekalkan morfologi sungai serta ekosistem semulajadinya.

     

    Pihak Lembaga juga telah melaksanakan Strategi Pengurusan Tasik Negeri Selangor di mana melibatkan dasar pembangunan dengan mengambilkira keadaan fizikal semulajadi tasik dan juga pemeliharaannya supaya dikekalkan

     

    Pihak LUAS akan sentiasa berusaha dan memastikan langkah-langkah kawalan dalam penjagaan dan perlindungan sumber air bagi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.