Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

245) BEKALAN AIR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang sedang diambil dan akan diambil untuk mengurangkan insiden dan aduan bekalan air terputus dan tekanan air rendah yang sering menjadi aduan rumah kediaman?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 27/2012 yang bersidang pada 25 Julai 2012 dan telah disahkan oleh MMKN ke  28/2012 pada 01 Ogos  2012 telah menimbang dan meluluskan penubuhan Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi memantau secara harian perkhidmatan SYABAS dan kedudukan semasa bekalan air kepada pengguna termasuk meninjau sendiri di tapak masalah kekurangan bekalan air yang dicanangkan oleh SYABAS. Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).  ABASS akan melantik pasukan pemantau untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor di dalam memantau operasi SYABAS.  Kos pelantikan pasukan pemantau oleh ABASS akan ditanggung oleh ABASS dan kemudiannya diserapkan di dalam kos pengambilalihan SYABAS oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Pemantauan yang dibuat oleh Jawatan Kuasa tersebut adalah meliputi semua perkara yang berkaitan dengan industri perkhidmatan air termasuk air mentah seperti berikut:-

    1. Memantau Pengeluaran air harian bagi setiap loji air, paras empangan dan jumlah hujan;
    2. Memantau dan menyiasat dari sudut teknikal kebolehan dan keupayaan loji-loji rawatan air sedia ada dalam mengeluarkan air terawat pada tahap optimum dengan mengambil kira kesediaan yield sungai sedia ada;
    3. Memantau dan menganalisis permintaan air berdasarkan bil air (metered consumption) dari Januari 2012 hingga sekarang;
    4. Memantau dan menganalisis permintaan dan keupayaan pembekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk unjuran permintaan dan pembekalan air yang disediakan oleh SYABAS;
    5. Memantau dan menganalisis maklumat mengenai paras kolam utama( balancing reservoir – terminal reservoir -service reservoir) serta menganalisis langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan paras kolam ini dapat ditingkatkan;
    6. Mengenal pasti kawasan-kawasan kritikal (water stressed areas) termasuk memantau dengan rapi kedudukan pembekalan air di kawasan tersebut dan menganalisis punca-punca utama (micro) yang menyebabkan kawasan tersebut mengalami masalah air serta menasihati Kerajaan Negeri dalam menyediakan langkah-langkah penyelesaian ke atas masalah tersebut;
    7. Memantau dan menganalisis maklumat terperinci mengenai rangkaian paip air utama termasuk kolam air hingga ke kawasan yang bermasalah khususnya serta mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dibuat mengenai rangkaian paip dalam usaha untuk memastikan bekalan air dari loji rawatan sedia ada dapat dibekalkan kepada pengguna;
    8. Memantau dan menganalisis serta mengenal pasti langkah-langkah bagi menangani masalah bekalan air termasuk Emergency response plan yang disediakan oleh pihak SYABAS; dan
    9. Memantau dan menganalisis pelaksanaan projek-projek mitigasi yang sedang/akan dilaksanakan termasuk memberi dan ulasan teknikal kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam perkara berkaitan perancangan dan pembangunan bekalan air termasuk mengkaji keberkesanan program NRW sedia ada.

    Selain dari pemantauan oleh  Jawatan kuasa ini, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelaksanaan Projek Mitigasi 2 bagi tujuan mengatasi masalah kekangan sistem agihan sedia ada. Mengikut skop Mitigasi 2 yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, penambahbaikan ke atas rumah pam Bukit Gasing dan rumah pam Matang Pagar dapat mengatasi masalah kekangan sistem agihan ini.

    Namun demikian, Kerajaan Negeri Selangor berpandangan, penyelesaian ke atas SYABAS ini hanya boleh dicapai dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah Model Holistik yang sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Penang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

  2. Apakah pantauan yang dilaksanakan terhadap aduan kepada PUSPEL?

    Sama seperti di SUB (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.