Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
93) BEG PLASTIK
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah dasar atau hala tuju kerajaan untuk mencapai ke arah beg plastik sifar?
Kerajaan Negeri Selangor masih meneruskan usaha-usaha bagi mengurangkan penggunaan plastik dan bercadang untuk melaksanaan penambahbaikan ke atas program-program sedia ada dari masa ke semasa. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di Malaysia, tiada satu kerangka polisi yang seragam bagi menangani masalah pencemaran sisa plastik sekali guna. Larangan penggunaan beg plastik serta mekanisme pelaksanaan adalah berlainan mengikut Kerajaan Negeri. Melalui Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018 -2030 yang telah dilancarkan pada 17 Oktober 2018, Kerajaan Persekutuan memperkenalkan satu polisi yang seragam dalam usaha mengurangi penggunaan plastik sekali guna di kalangan masyarakat iaitu pengenaan caj ke atas beg plastik melalui Kempen Tiada Beg Plastik.
Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan langkah-langkah awal seperti berikut:
- Kempen Bebas Plastik telah mula dimulakan di Negeri Selangor seawal Januari 2010 dengan penetapan tiada beg plastik pada setiap hari Sabtu;
- Pelaksanaan “Hari Tanpa Beg Plastik” selama 7 hari seminggu bermula pada 1 Januari 2017. Pada 1 Januari 2020, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan polisi baharu melalui pelaksanaan Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor dengan mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan;
- Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Kempen Bebas Straw Plastik dan Polisterina bagi tujuan penjagaan alam sekitar. Kempen ini adalah selaras dengan hala tuju yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030; dan
- Pada Mei 2022, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelaksanaan dasar larangan beroperasi terhadap kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di Negeri Selangor yang menjalankan aktiviti-aktiviti import sisa kitar semula plastik.
Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau telah merancang dan menggariskan Sasaran Kerja Utama (SKU) bagi tahun 2024 di mana antara fokus utama tahun ini adalah pelaksanaan Kempen Bebas Plastik. Antara pengisian program yang dijangka akan dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Penganjuran Program dan Kempen Bebas Plastik oleh 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menfokuskan kepada kempen-kempen kesedaran dengan komuniti setempat dalam usaha merancakkan lagi pengurangan penggunaan plastik di kalangan rakyat Negeri Selangor;
- PBT menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan, terutamanya pasaraya besar, pasaraya mini dan kedai-kedai serbaneka bagi memastikan peniaga-peniaga mematuhi syarat-syarat lesen serta mengeluarkan notis amaran kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan;
- Bekerjasama dengan rakan strategik seperti Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) bagi melaksanakan program pengasingan sampah dipunca di peringkat residen dan komuniti;
- Cadangan untuk bekerjsama dengan pemain industri di Negeri Selangor seperti AEON Retail Malaysia, 99 Speedmart dan lain-lain lagi dalam usaha untuk menggalakkan pengurangan penggunaan beg plastik dikalangan pengguna;
Memperkemaskan semula Garis Panduan Program Kutipan Caj Beg Plastik Negeri Selangor dengan melibatkan elemen-elemen penguatkuasaan, nilai caj kutipan dan mewujudkan Hari Tanpa Beg Plastik.
-
Apakah inisiatif kerajaan untuk mencapai hala tuju bagi kilang beg plastik supaya tidak menghasilkan beg plastik dan didik pengguna beg plastik supaya bersifat penggunaan beg plastik sifar?
Kerajaan Negeri Selangor tiada perancangan untuk menutup atau melarang kilang-kilang plastik di negeri ini untuk beroperasi walaupun ianya bertentangan dengan dasar kempen bebas plastik Kerajaan Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri berharap inisiatif-inisiatif yang dijalankan dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik ini disokong bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.
Usaha yang kolektif perlu dijalankan dengan pemain-pemain industri bagi memastikan sasaran pengurangan penggunaan plastik dapat dicapai sepenuhnya. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk melaksanakan beberapa inisiatif dengan pemain industri termasuk syarikat/pengilang plastik. Antara inisiatif yang akan diambil adalah seperti berikut:
- Mengadakan sesi townhall dengan syarikat/industri plastik bagi mendapatkan input, sokongan dan maklumbalas terhadap Kempen Bebas Plastik Negeri Selangor;
- Menyarankan pengilang beg plastik yang membekalkan produk tersebut ke premis perniagaan, membuat persediaan untuk beralih kepada beg yang diperbuat daripada bahan mudah terurai;
- Menggalakkan syarikat korporat melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan mengedarkan beg guna semula yang diperbuat daripada kain atau bahan boleh dikitar semula secara percuma kepada masyarakat dan aktiviti kitar semula sekali gus dapat mendidik mereka untuk tidak lagi menggunakan beg plastik; dan
- Mewujudkan pelbagai bahan alternatif bagi menggantikan beg plastik.
Walau bagaimanapun, dari aspek kawalan terhadap industri, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan satu Dasar Larangan Beroperasi Kilang/Premis Memproses Sisa Kitar Semula Plastik di Negeri Selangor yang mana pelaksanaan larangan ini adalah melibatkan penguatkuasaan secara berterusan terhadap kilang/premis perniagaan yang menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik dan menghadkan kelulusan pemberian Lesen Import (AP) hanya kepada pemegang AP sedia ada. Ini merupakan langkah kawalan Kerajaan Negeri Selangor berikutan terdapat banyak isu pencemaran dan lambakan sisa plastik akibat daripada pengurusan sisanya yang tidak terkawal dan tidak diurus dengan baik. Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil kira aspek pengurusan sisa plastik dan menanganinya secara menyeluruh bagi memastikan ianya diuruskan dengan cara yang dapat mengurangkan kesan kemudaratan kepada kesihatan awam dan alam sekitar.
-
Apakah program atau kempen boleh dilaksanakan oleh agensi alam sekitar bagi mencapai ke arah beg plastik sifar?
Program atau kempen ke arah sifar plastik yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri melalui PDT dan PBT seperti berikut:
- Kempen edaran poster dan risalah di premis perniagaan;
- Kempen kesedaran bebas plastik di dalam program komuniti;
- Kempen pembersihan sungai dan kutip sampah sambil riadah (KUDAH);
- Sambutan hari bebas plastik sedunia bersama komuniti;
- Kempen Bazar Ramadan Mampan;
- Sambutan Hari Sungai Sedunia Bersama Komuniti;
- Edaran beg guna semula menggantikan beg plastik kepada komuniti;
- Kempen mangkuk tingkat di pasar malam, pasar tani dan bazar Ramadan;
- Edaran straw besi menggantikan straw plastik kepada pelajar sekolah dan komuniti;
- Hari Rendah Karbon; dan
- Program Green Lane di Pasaraya.