Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
71) BAZAAR DARUL EHSAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini Bazaar Darul Ehsan Kuala Langat di DUN Morib yang masih tidak ada perubahan serta semakin uzur dan terbiar?
Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor ke 29/2023 yang diadakan pada 8 November 2023 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 30/2023 pada 6 Disember 2023, Kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan pelupusan secara Lesen Pendudukan Sementara (LPS) daripada Koperasi Warga Hijrah Selangor (KOHIJRAH) bagi tanah BDE untuk tujuan kegunaan awam.
Kerajaan Negeri juga telah meluluskan perizaban di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 bagi tanah Bazar Darul Ehsan bagi kegunaan awam (Hentian Morib) dengan melantik Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai Pegawai Pengawal dan diselenggara oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat.
Berdasarkan status terkini, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat (PDTKL) memaklumkan bahawa permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) tersebut berada di peringkat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi tujuan penilaian sewaan ke atas tapak semula.
Seterusnya, pihak KOHIJRAH diminta untuk kemukakan semula pelan pra-hitungan seluas 2.3280 ekar yang merangkumi kesemua tapak termasuk tapak Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah (SAMUS), tapak Bazar Darul Ehsan, padang dan tapak Pusat Komuniti bagi tujuan perizaban di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965.