Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
279) BAYARAN TANPA TUNAI
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa akan melaksanakan bayaran khidmat kerajaan tanpa tunai pada tahun 2022, apakan pandangan Kerajaan Negeri Selangor atas perlaksanaan ini?
KNS menyambut baik cadangan pelaksanaan oleh Kementerian Kewangan tentang bayaran khidmat kerajaan tanpa tunai pada tahun 2022. Usaha yang sama telah pun di depani oleh KNS seawal 2018 menerusi program ‘cashless bazaar ramadan’ tahunan (iaitu bazaar ramadan fizikal menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai dan juga bazaar raya online menerusi platform Lazada dan Shopee). Inisiatif cashless ini dipergiatkan dan diperluaskan lagi menerusi perencanaan yang lebih tersusun di dalam Smart Selangor Action Plan 2025 (“SSAP 2025”) di bawah program Smart Selangor. Di antara inisiatif yang telah dibangunkan di dalam SSAP 2025 ini adalah pembangunan aplikasi Citizen E-Payment (CEPat) yang menyediakan perkhidmatan berbayar kerajaan secara atas talian dalam pelbagai peringkat (peringkat PBT, KNS, dan agensi) secara berpusat. Aplikasi ini tentunya menjadi satu kemudahan buat rakyat, lebih-lebih lagi di waktu negara kita dilanda pandemik.
-
Adakah ini akan menjadikan sesuatu yang tidak mesra kepada warga emas?
Manfaat perkhidmatan tanpa tunai kepada warga emas adalah lebih besar berbanding dengan masalah tidak mesra pengguna. Golongan sasar ini harus diberi kesedaran mengenai fungsi pembayaran perkhidmatan kerajaan tanpa tunai yang lebih memanfaatkan mereka kerana tidak perlu keluar ke premis PBT atau agensi kerajaan negeri dan tidak perlu membawa wang tunai terutamanya sewaktu pandemik ini.
-
Bagaimana perlaksanaan ini akan manfaat Kerajaan Negeri?
Pelaksanaan ini memberi manfaat kepada KNS dalam beberapa aspek seperti berikut:
- Pengumpulan data pengguna berpusat
- Keselamatan transaksi yang lebih tinggi dan pengurangan kos operasi kepada KNS dalam operasi melibatkan wang tunai fizikal
- Membantu KNS membuat perancangan inisiatif rakyat untuk masa hadapan berdasarkan analitik data dan gaya hidup rakyat
- Peningkatan dalam kutipan serta hasil yang juga lebih cepat kepada KNS.