Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

283) BAYARAN PENGHARGAAN PERKHIDMATAN OLEH MMKN

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan secara terperinci berapakah jumlah bayaran penghargaan perkhidmatan pegawai Pejabat Menteri Besar dan Pegawai MBI ?

    Jumlah bayaran penghargaan perkhidmatan pegawai Pejabat Menteri Besar dan Pegawai MBI melibatkan implikasi kewangan syarikat sebanyak RM2.3 juta yang melibatkan seramai lapan (8) orang terdiri daripada Pegawai Pengurusan Utama, Pegawai Kanan dan Pegawai dibawah lantikan MBI seperti berikut :-

     

    • Cik Faekah Binti Haji Hussin
    • Puan Rohany Binti Dato’ Talib
    • Puan Arfa’eza Binti Ab. Aziz
    • Puan Rahimah Binti Kamaruddin
    • Tuan Dr. Sulaiman Bin Masri
    • Tuan Haji Mustapha Bin Mohd Talib
    • Encik Abdul Halim Bin Mohamed Yusof
    • Tuan Nazuri Bin Tuan Ismail
  2. Sila nyatakan apakah rasionalnya bayaran tersebut ?

    • Arahan pembayaran ini dibuat susulan daripada Keputusan Dasar Mesyuarat Lembaga Pengarah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) yang telah diadakan pada 25hb Ogos 2014. Melalui mesyuarat tersebut Lembaga Pengarah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bersetuju dengan cadangan untuk memberi penghargaan dan / atau pampasan kepada pegawai lantikan politik dan kontrak yang telah berkhidmat untuk YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan Pengerusi MBI semenjak Mac 2008. Keputusan ini telah diambil memandangkan pegawai-pegawai terlibat telah selama ini menyokong Dato’ Menteri Besar menjalankan tugas dengan berkesan berteraskan amanah, pertanggungjawaban dan telus. Kertas Ringkasan berkaitan Penghargaan Perkhidmatan Kepada Lantikan Politik / Kontrak Pegawai Dato’ Menteri Besar dan Pengerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) ini juga telah

     

    dikemukakan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri No. 34 / 37 / 2014 sebagai makluman oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang disediakan oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif MBI.

  3. Sila nyatakan adakah bayaran tersebut bercanggah dengan amalan prinsip ketelusan dan Pekeliling Kewangan Negeri ?

    MBI tidak terikat dengan Pekeliling Kewangan Negeri dalam menentukan pembayaran penghargaan dan atau / pampasan. Dalam mesyuarat Lembaga Pengarah MBI pada 25hb Ogos 2014, mantan Pengerusi MBI telah bersetuju agar penghargaan dan / atau pampasan yang dibuat bolehlah berpandukan keputusan MMKN pada 3hb September 2014 berkenaan ganjaran para pegawai ahli MMKN yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka. Dalam keputusan, ganjaran yang diberikan adalah berdasarkan pengiraan pada kadar 17.5% daripada satu bulan gaji untuk sepanjang tempoh perkhidmatan yang telah diberikan.

     

    Pihak pengurusan MBI berpendapat kadar yang berlainan lebih sesuai digunakan kerana kesemua pegawai yang terlibat adalah tangga eksekutif dan ke atas dan mencadangkan agar pengiraan dibuat atas kadar pada 30% sebulan untuk sepanjang tempoh perkhidmatan yang telah dijalankan atau sekurang- kurangnya 3 bulan gaji. Kertas Ringkasan berkaitan Penghargaan Perkhidmatan Kepada Lantikan Politik / Kontrak Pegawai Dato’ Menteri Besar dan Pengerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) ini juga telah dikemukakan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri No. 34 / 37 / 2014 sebagai makluman oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang disediakan oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif MBI. Melalui keputusan dasar Mesyuarat Lembaga Pengarah MBI tersebut juga bersetuju agar pihak pengurusan mengemukakan beberapa opsyen lain bagi nilai dan perkiraan penghargaan dan

    / atau pampasan tersebut dalam masa terdekat untuk dilaksanakan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.