Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

200) BAYARAN KEPADA PAAB / SPAN DAN DASAR AIR PERCUMA

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyakkah kerajaan perlu membayar kepada PAAB / SPAN untuk penggunaan aset air setiap tahun?

    Sehingga tempoh 30 September 2018, jumlah aset air yang dipegang oleh Air Selangor adalah sebanyak RM11.55 bilion, merangkumi pelbagai jenis aset air termasuk loji-loji rawatan air, rangkaian paip, rumah pam, kolam air, meter, kenderaan dan pelbagai kelengkapan dan peralatan berkaitan operasi perkhidmatan air yang dipindah milik oleh Kerajaan Negeri Selangor selaras dengan terma dan syarat yang ditetapkan di dalam Perjanjian Pindahan Aset bertarikh 22 September 2014.

    Kadar sewa pajakan yang dikenakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) adalah lebih rendah berbanding kadar komersil dengan tempoh pembayaran yang panjang, akan membantu di dalam memastikan kemampanan kedudukan kewangan Air Selangor. Air Selangor akan membuat bayaran ke atas sewa pajakan bagi tempoh 45 tahun dengan kadar sewa pajakan diantara 5 hingga 5.75 peratus(%) setahun bagi liabiliti komersil dan kadar sewa pajakan sebanyak 2.22 peratus (%) bagi pinjaman dari Kerajaan Persekutuan.

    Berdasarkan kadar sewa pajakan ini, anggaran kos sewa pajakan tahunan yang perlu dibayar oleh Air Selangor untuk tahun 2019 adalah sebanyak RM716.8 juta

  2. Adakah kita akan mengkaji semula dasar air percuma?

    Soalan No. 200 bahagian (b) dari Yang Berhormat Sungai Pelik telah dijawab bersekali dengan soalan No. 111 oleh Yang Berhormat Kuala Kubu Gasing.

    Pada 01 Jun 2008, di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Program Air Percuma di mana pemberian air sebanyak 20 meter padu dengan nilai RM11.40 setiap bulan kepada pengguna domestik yang bermeter individu. Program ini adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat untuk semua lapisan masyarakat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Selangor.

    Jumlah yang dibelanjakan untuk membiayai program air percuma ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri di mana semenjak dilaksanakan pada Jun 2008 sehingga 30 Oktober 2018, program ini telah menelan belanja sebanyak RM 1,635,209,953.79.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor telah meneliti dan mengkaji semula pelaksanaan Program Air Percuma dan akan membuat penjajaran semula pelaksanaan di mana fokus akan diberi kepada golongan sasar yang berada di dalam golongan B40. Golongan B40 ini ditakrifkan sebagai mereka yang telah didaftarkan atau berada dalam data E-Kasih. Matlamat utama penjajaran semula pemberian air percuma ini adalah untuk memastikan penyaluran subsidi yang lebih fokus kepada golongan sasar khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Selangor dalam usaha untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup golongan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.