Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
41) BAU BUSUK PUSAT PELUPUSAN SAMPAH (RDF)
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Pusat Pembuangan Sampah (RDF) di Ulu Semenyih mengeluarkan bau busuk hingga ke kawasan perumahan Taman Pelangi Semenyih dan taman-taman perumahan sekitarnya (15 km daripada RDF). Ini menyebabkan ketidakselesaan di kalangan penduduk di sekitar taman-taman perumahan tersebut. Apakah tindakan yang diambil untuk mengatasi bau busuk tersebut?
Mengikut rekod Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, pusat pembuangan sampah Recycle Energy Sdn Bhd telah beberapa kali diadu menyebabkan pencemaran bau busuk. Hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar telah mendapati punca bau busuk tersebut adalah daripada longgokan sampah yang terkumpul dan juga lelehan air daripada sampah (leachate) yang sedang diangkut oleh lori-lori pengangkut sampah ke premis. Susulan dari itu, Jabatan Alam Sekitar telah mengeluarkan Notis Arahan kepada pihak premis supaya mengambil langkah-langkah bagi mengatasi masalah bau busuk. Pemantauan terkini Jabatan Alam Sekitar mendapati masalah bau bususk dari longgokan sampah tersebut telah diatasi oleh pihak premis dengan melaksanakan semburan bio enzim ke atas longgokan sampah setiap sejam sekali serta menutup timbunan sampah dengan menggunakan kanvas.
-
Adakah pemantauan dibuat mengikut jadual ke atas pusat pelupusan sampah tersebut?
Jabatan Alam Sekitar telah menetapkan jadual pelaksanaan pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis ini iaitu sebanyak 4 kali setahun dan untuk tahun 2011 sebanyak 3 pemeriksaan telah dilaksanakan. Walaupun demikian, sekiranya terdapat aduan, siasatan serta-merta akan dijalankan.
Bagi tujuan pemantauan pelepasan dari cerobong premis, pihak premis juga telah diarah memasang dan menyambungkan sistem pemantauan jarak jauh secara on-line ke Jabatan Alam Sekitar iaitu Continuous Emission Monitoring Systems (CEMS.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, hasil pemeriksaan berkala yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar, sehingga kini sebanyak 2 kes mahkamah telah dikenakan ke atas kilang ini dengan hukuman denda sebanyak RM 15,000.00, sebanyak 1 kompaun telah dikeluarkan ke atas kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya; dan sebanyak 4 Notis Arahan telah dikeluarkan ke atas premis ini semenjak ianya mula beroperasi dari 2006.