Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

226) BAS SMART SELANGOR DI SETIAP PBT

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila menyatakan kos-kos penyelenggaran Bas Smart Selangor yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri di setiap PBT sejak kemudahan ini diperkenalkan.

    Kos bagi pelaksanaan Bas Smart Selangor sejak tahun 2015 hingga 2017 adalah sebanyak RM43 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM34 juta telah  diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri yang disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengurus serta memantau perkhidmatan Bas Smart Selangor yang dikendalikan oleh syarikat operator perkhidmatan bas yang dilantik, manakala sebanyak RM9 juta adalah daripada peruntukan PBT sendiri. Kos yang ditanggung sebanyak RM800.00 sehari bagi sebuah bas merupakan kos penyewaan yang merangkumi kos pengurusan dan penyelenggaraan bas. Oleh itu, tiada kos pembelian bas oleh Kerajaan Negeri manakala kos penyelenggaraan adalah termasuk di dalam kos penyewaan yang menjadi tanggungjawab  sepenuhnya syarikat operator bas yang dilantik.

     

  2. Sila menyatakan jumlah bilangan Bas Smart Selangor di setiap PBT yang sedang dalam perkhidmatan.

    Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang bermula pada 1 Julai 2015 dengan sebelas (11) buah bas di tiga kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) kini telah berjaya diperluaskan ke sebelas kawasan PBT yang lain di Negeri Selangor, kecuali Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mempunyai perkhidmatan bas percuma dikenali PJCitybus. Dalam tempoh dua tahun pelaksanaan, Bas Smart Selangor kini mempunyai 30 laluan dengan 100 buah bas. Jumlah Bas Smart Selangor mengikut PBT adalah seperti berikut:

    Bil. PBT JUMLAH LALUAN JUMLAH BAS
    1. Majlis Bandaraya Shah Alam 5 22
    2. Majlis Perbandaran Subang Jaya 4 16
    3. Majlis Perbandaran Klang 2 8
    4. Majlis Perbandaran Ampang jaya 3 11
    5. Majlis Perbandaran Kajang 3 8
    6. Majlis Perbandaran Selayang 2 10
    7. Majlis Perbandaran Sepang 3 10
    8. Majlis Daerah Kuala Langat 2 4
    9. Majlis Daerah Kuala Selangor 2 4
    10. Majlis Daerah Sabak Bernam 2 3
    11. Majlis Daerah Hulu Selangor 2 4
    JUMLAH 30 100

     

    Manakala bagi PJ City Bus yang dibiayai sepenuhnya oleh MBPJ, sebanyak 22 buah bas telah disediakan bagi empat (4) laluan seperti berikut:

    LALUAN BILANGAN BAS
    PJ01 10
    PJ02 4
    PJ03 4
    PJ04 4
    JUMLAH 22
  3. Bagaimanakah Kerajaan Negeri mempromosikan perkhidmatan percuma ini di kawasan luar bandar, khususnya daerah Kuala Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor memandangkan sambutan penumpang kurang baik?

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa memastikan perkhidmatan Bas Smart Selangor mendapat hebahan yang meluas di kawasan-kawasan yang dilalui termasuk di kawasan luar bandar seperti daerah Kuala Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Antara promosi perkhidmatan Bas Smart Selangor adalah melalui pemakluman di dalam laman web, edaran bahan-bahan promosi seperti brosur dan risalah laluan serta bunting dan pole di setiap hentian bas. Hebahan ini turut mendapat kerjasama daripada pemimpin tempatan terutamanya Ahli-ahli Majlis untuk mempromosikan Bas Smart Selangor di kawasan masing-masing. Selain itu, majlis pelancaran dan perasmian laluan turut diadakan bagi memperkenalkan laluan Bas Smart Selangor di setiap kawasan yang terlibat, secara tidak langsung telah dapat mempromosikan laluan-laluan Bas Smart Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.