Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

26) BAS SMART SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengoptimumkan penggunaan Bas Smart Selangor, memandangkan penggunaan bas tersebut masih rendah?

    Antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengoptimumkan penggunaan Bas Smart Selangor adalah dengan meningkatkan capaian first mile, last mile bagi pengguna Bas Smart Selangor. Peningkatan capaian tersebut boleh dilaksanakan melalui beberapa cadangan termasuk menyediakan dan menambah baik kemudahan laluan pejalan kaki yang mempunyai ketersambungan (connectivity) dengan hab pengangkutan Bas Smart Selangor dan penyediaan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) yang akan menyokong pelaksanaan perkhidmatan Bas Smart Selangor, terutama di kawasan berkepadatan tinggi dan mempunyai laluan-laluan yang sempit.

     

    Di samping itu juga, bilangan jumlah Bas Smart Selangor yang beroperasi akan dinilai oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan berdasarkan kepada rekod data lampau mengenai bilangan penumpang yang menggunakan Bas Smart Selangor mengikut jenis laluan dan kawasan yang telah dilalui. Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ini juga merupakan tanggungjawab sosial kepada rakyat bagi memenuhi keperluan di sema kawasan termasuk kawasan yang berkepadatan rendah, memandangkan kebanyakan kawasan berkepadatan tinggi dan lokasi tumpuan merupakan laluan bas-bas komersial, di mana laluan-laluan bas komersial tidak boleh dijadikan laluan yang sama untuk Bas Smart Selangor sepertimana yang digariskan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

  2. Bolehkah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengkaji semula laluan Bas Smart Selangor berdasarkan pandangan dan soal selidik (servey) orang awam?

    Kerajaan Negeri telah membangunkan aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) yang membolehkan pengguna Bas Smart Selangor merancang perjalanan dengan lebih efektif dan pintar menerusi perkhidmatan bas yang merentasi 12 Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor. Aplikasi ini merupakan salah satu inisiatif Smart Selangor yang memberi kemudahan kepada pengguna Bas Smart Selangor untuk mengenal pasti hentian yang terdekat, menyemak jangkaan waktu ketibaan bas dan merujuk jadual perjalanan Bas Smart Selangor dan juga menyediakan ruangan pengguna untuk mengemukakan maklum balas dan aduan. Pelbagai aduan dan penambahbaikan telah diterima melalui aplikasi ini antaranya adalah berkaitan kepatuhan masa, sikap pemandu dan jenis laluan. Hasil pelbagai maklum balas dan aduan ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Mobiliti Negeri Selangor dan seterusnya sebarang penambahbaikan akan diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.Aplikasi ini telah berjaya menambah baik proses perkhidmatan Bas Smart Selangor menerusi pemantauan secara masa sebenar dan analisis data terperinci dapat dibuat bagi menambah baik kualiti perkhidmatan pengangkutan awam Bas Smart Selangor untuk rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.