Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

41) BAS SMART SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini capaian program Bas Smart Selangor?

    Perkhidmatan Bas Smart Selangor telah dilancarkan pada 1 Julai 2015 oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. Sejak mula diperkenalkan, jumlah penumpang yang menggunakan Bas Smart Selangor sehingga September 2023 telah mencapai penggunaan sehingga 65,105,588 orang penumpang. Meskipun perkhidmatan Bas Smart Selangor ini mendapat sambutan yang menggalakkan, jumlah penumpang bukanlah kayu ukur untuk menentukan keberhasilan kejayaan program ini memandangkan matlamat Program Bas Smart Selangor bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya objektif Bas Smart Selangor ini adalah untuk menggalakkan penggunakan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat, disamping dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam di dalam urusan harian.

  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menambah baik program ini?

    Sejak Perkhidmatan Bas Smart Selangor diperkenalkan pada tahun 2015, Kerajaan Negeri mahu sistem pengangkutan awam di negeri ini terus diperkasakan supaya menjadi sistem pengangkutan pilihan pertama untuk rakyat Negeri Selangor. Inisiatif Mobiliti Selangor yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor merupakan satu pendekatan yang pragmatik untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Negeri Selangor. Sebelum tahun 2023, perkhidmatan pengangkutan awam di Selangor tertumpu kepada Bas Smart Selangor sahaja.

    Melangkah ke hadapan, tiba masanya Kerajaan Negeri mencari solusi yang lebih proaktif bagi mencapai sasaran penggunaan pengangkutan awam yang lebih tinggi. Penjenamaan baharu sistem pengangkutan awam Selangor kini akan dikenali sebagai Mobiliti Selangor iaitu satu sistem pengangkutan awam yang menggabungkan semua aspek pengangkutan di bawah satu bumbung, dan dipandu dengan penganalisaan data.

    Inisiatif ini melibatkan pelaksanaan program dan aktiviti yang menyeluruh dalam memenuhi keperluan First Mile Last Mile, yang merujuk kepada segmen awal dan akhir perjalanan seseorang pengguna pengangkutan awam. Mobiliti Selangor tidak hanya memfokuskan pada satu mod pengangkutan semata-mata seperti bas, rel, teksi, atau e-hailing, tetapi ia melibatkan keterangkuman semua aspek pengangkutan dalam satu ekosistem pengangkutan yang holistik dan efisien. Contohnya perhentian bas, hub pengangkutan awam, mikromobiliti, e-scooter, malahan laluan pejalan kaki.

  3. Adakah terdapat perancangan untuk tidak lagi meneruskan program ini?

    Sebagai sebuah negeri yang bertunjangkan kebajikan dan keprihatinan kepada rakyat, Program Bas Smart Selangor yang bertujuan untuk menggalakkan penggunakan pengangkutan awam dan bermatlamat untuk mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan terus dilaksanakan. Bukan itu sahaja, perkhidmatan ini akan terus dipertingkatkan dengan penyatuan atau kombinasi bersama beberapa mod pengangkutan lain yang terkandung dalam Mobiliti Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.