Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

194) BAS SMART SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan kini perlaksanaan Bas Mini Smart Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor tidak menyediakan perkhidmatan Bas Mini Smart Selangor. Walau bagaimanapun, terdapat bas Smart Selangor berkapasiti 20 – 30 orang penumpang (coaster) yang digunakan di beberapa lokasi oleh beberapa Pihak Berkuasa Tempatan seperti di Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Sepang bagi memenuhi keperluan di lokasi-lokasi yang tidak boleh dicapai oleh Bas Smart Selangor bersaiz besar dan masih digunakan sehingga kini.

    Menyedari keperluan bas bersaiz kecil untuk kemudahan capaian di lokasi-lokasi tersebut, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan pelaksanaan Demand-Responsive Transit (DRT) dengan kapasiti penumpang 10 – 15 orang supaya lebih banyak lokasi boleh dicapai oleh pengangkutan awam Negeri Selangor pada masa akan datang.

  2. Bagaimana perlaksanaan Bas Mini Smart Selangor boleh memanfaatkan rakyat?

    Bas Smart Selangor berkapasiti 20 – 30 orang penumpang (coaster) dan DRT (berkapasiti 10 – 14 orang penumpang) digunakan bagi tujuan untuk membolehkan pengangkutan awam yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor mencapai kawasan dengan laluan-laluan sempit dan berkependudukan padat yang tidak boleh dicapai oleh Bas Smart Selangor bersaiz besar. Penggunaan bas tersebut dapat mengurangkan masalah capaian pengangkutan awam oleh rakyat dan dapat membantu dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik bagi tujuan kemudahan First Mile Last Mile untuk rakyat Negeri Selangor.

  3. Apakah status kini berkenaan permohonan perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan Bandar Country Homes?

    Berdasarkan maklumbalas daripada Majlis Perbandaran Selayang, dimaklumkan jaringan laluan Bas Smart Selangor sedia ada di Kawasan Rawang adalah Laluan MPS2A (Tesco Rawang – Rawang Perdana – Hentian Bas Rawang) dengan bilangan tiga buah bas manakala Laluan MPS2B (Tesco Rawang – Hentian Bas Rawang – Taman Garing Utama) dengan bilangan satu buah bas.

    Satu kajian telah dijalankan bagi penyediaan perkhidmatan Bas Smart Selangor di Kawasan Bandar Country Homes dengan menghubungkan Kawasan tersebut ke Hentian Bas Rawang. Melalui cadangan ini dapat menjadikan Hentian Bas Rawang menjadi pusat integrasi (stesen pertukaran) pengangkutan Bas Smart Selangor MPS dengan pertukaran laluan MPS2A dan MPS2B. Bilangan unit Bas Smart Selangor yang diperlukan bagi pengoperasian laluan ini adalah sebanyak dua buah bas dengan anggaran kos sebanyak RM619,040.00. Pengoperasian cadangan laluan ini juga bergantung kepada peruntukan sedia ada MPS.

Lampiran

Tiada Lampiran.