Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
32) BAS SMART SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Selangor menjalankan kajian impak perlaksanaan Bas Smart Selangor di Selangor?
Kerajaan Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat telah melaksanakan kajian dan penilaian awal bagi menentukan laluan yang sesuai bagi pelaksanaan bas Smart Selangor. Sepanjang pelaksanaan bas Smart Selangor, Kerajaan Selangor melalui PBT sentiasa melaksanakan pemantauan bagi memastikan keberkesanan laluan yang digunakan terhadap orang awam. Penilaian dan pemantauan sentiasa dibentangkan secara berkala dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Awam Negeri Selangor. Sekiranya terdapat laluan yang kurang memberi manfaat kepada pengguna, PBT akan mengemukakan dan membentangkan cadangan pengubahan laluan kepada ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri Selangor untuk kelulusan dan tindakan pengubahan laluan.
-
Adakah impak yang memberansangkan?
Penggunaan bas Smart Selangor menunjukkan impak yang memberangsangkan di mana Kerajaan Negeri Selangor telah mewujudkan 52 laluan bas Smart Selangor dari tempoh 2019 hingga tahun 2022, dan kumulatif penggunaan bas Smart Selangor bermula tahun 2019 sehingga September 2022 adalah melebihi 32.1 juta pengguna di semua PBT berkaitan.
-
Berapakah kos yang dikeluarkan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Program Bas Smart Selangor?
Pada tahun 2019 dan 2020, kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM30 juta setahun bagi pelaksanaan bas Smart Selangor dan telah mewujudkan 43 laluan bas Smart Selangor sehingga tahun 2020. Pada tahun 2021, kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM25 juta bagi pelaksanaan bas Smart Selangor dan terdapat pertambahan 7 laluan (termasuk PJ City Bus) menjadikan laluan bas pada tahun 2021 berjumlah 50 laluan. Pada tahun 2022, kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan kos berjumlah RM25 juta dan terdapat 2 lagi pertambahan laluan menjadikan laluan bas Smart Selangor sehingga 2022 sebanyak 52 laluan. Sehingga kini, terdapat 166 buah bas yang digunakan bagi 52 laluan tersebut yang masih aktif dan memberi manfaat kepada rakyat Negeri Selangor.