Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
53) BAS SMART SELANGOR
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh manakah rakyat berpuashati dengan pencapaian dan keberkesanan pelaksanaan Bas Smart Selangor?
Peningkatan jumlah penumpang Bas Smart Selangor yang hampir menjangkau 2 juta sejak perkhidmatan Bas Smart Selangor dilancarkan pada 1 Julai 2015 memberi isyarat bahawa sambutan, penerimaan dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor adalah sangat memberangsangkan. Sehingga 30 Jun 2016, sebanyak 1,951,530 penumpang telah menggunakan perkhidmatan bas tersebut.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri turut mensasarkan supaya perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor ini dapat menggalakkan masyarakat kepada penggunaan pengangkutan awam di samping membantu golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada sistem pengangkutan awam bagi melaksanakan pelbagai urusan harian. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan akan sentiasa melaksanakan pemantauan bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah pada tahap yang terbaik dan berterusan
-
Berapakah kos pelaksanaan di seluruh negeri? Adakah ianya efektif?
Sejak perkhidmatan Bas Smart Selangor diperkenalkan, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM12,317,278.64 di 11 kawasan pentadbiran PBT di seluruh Negeri Selangor. Keseluruhan kos tersebut adalah meliputi kos sewaan bagi 34 buah bas, wrapping, penyelenggaraan dan cukai barangan dan perkhidmatan sebanyak 6 peratus.
Inisiatif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Program Bas Smart Selangor bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya objektif Bas Smart Selangor ini adalah untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat, di samping dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam di dalam urusan harian.
Sejak dilancarkan pada 1 Julai 2015 hingga 30 Jun 2016, penumpang Bas Smart Selangor telah menjangkau sehingga 1,951,530 penumpang. Oleh yang demikian, berdasarkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor setakat ini dan permintaan-permintaan untuk menambah lagi jumlah perkhidmatan tersebut yang banyak diterima, Kerajaan Negeri percaya bahawa masyarakat menerima baik perkhidmatan ini di samping mengharap supaya perkhidmatan ini diperluaskan ke kawasan lain.
-
Adakah cadangan untuk menambah laluan bagi kawasan-kawasan yang tidak mempunyai akses ke pusat bandar?
Kerajaan Negeri sangat komited untuk menyediakan dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Negeri Selangor. Tidak dapat dinafikan, memang terdapat permintaan untuk menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan yang tidak mempunyai akses pengangkutan awam ke pusat Bandar dan perkara ini sedang dalam perhatian Kerajaan Negeri bergantung kepada faktorfaktor tertentu seperti kewangan dan sebagainya.