Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
63) BAS SMART SELANGOR
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan kawasan PBT yang telah melaksanakan perkhidmatan tersebut sehingga Feb 2016.
Perkhidmatan Bas Smart Selangor telah berjaya dilancarkan bermula pada 1 Julai 2015 oleh YAB Menteri Besar Selangor. Sehingga bulan Februari 2016, perkhidmatan bas secara percuma ini telah berjaya dilaksanakan di lima (5) kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Dimulakan di tiga (3) kawasan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) manakala pada 1 Januari 2016, perkhidmatan bas ini telah diperluaskan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
-
Apakah keberkesanan program tersebut?
Inisiatif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Program Bas Smart Selangor bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya objektif Bas Smart Selangor ini adalah untuk menggalakkan penggunakan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat, disamping dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam di dalam urusan harian. Oleh itu, keberkesanan program ini boleh diukur berdasarkan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart
Unjuran peningkatan penumpang Bas Smart Selangor yang telah mencapai sebanyak 911,969 penumpang sejak dilancarkan di lima (5) kawasan PBT pada 1 Julai 2015 sehingga 29 Februari 2016 menunjukkan bahawa program tersebut berjaya menggalakkan masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam serta meningkatkan mutu perkhidmatan bas awam yang disediakan di samping membantu mengurangkan beban kewangan bagi golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada sistem pengangkutan awam bagi melaksanakan pelbagai urusan harian.
-
Adakah Kerajaan mengkaji semula waktu perjalanan dan laluan memandangkan ia merupakan persaingan kepada pengusaha teksi dan bas swasta?
Kajian semula waktu perjalanan dan laluan adalah tertakluk kepada faktor- faktor yang boleh menjejaskan operasi perkhidmatan Bas Smart Selangor. Untuk makluman Yang Berhormat, pemilihan laluan bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor adalah berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor bersama-sama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan mengambilkira perkara-perkara berikut:
- Cadangan laluan yang dipilih perlu mengutamakan laluan kawasan- kawasan tumpuan pembangunan, perumahan padat dan jalan yang tidak dilalui oleh perkhidmatan bas lain; dan
- Lokasi bagi laluan bas percuma ini adalah di kawasan tumpuan kemudahan awam seperti pusat kesihatan, pejabat kerajaan dan sebagainya serta kawasan komersial dan kompleks
Pada masa ini, Bas Smart Selangor beroperasi pada setiap hari bermula jam
6.00 pagi hingga 10.00 malam dengan kekerapan bas adalah setiap 15 minit bagi kawasan Shah Alam, Subang Jaya dan Klang, manakala kekerapan setiap 20 minit bagi kawasan Ampang Jaya dan Kajang. Pematuhan waktu perjalanan adalah mengikut ketetapan yang dipersetujui oleh PBT dan pihak Rapid Bus Sdn. Bhd. sebagai penyedia perkhidmatan bas Smart Selangor di bawah peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Berdasarkan kriteria yang ditetapkan iaitu laluan yang tidak menerima perkhidmatan pengangkutan awam, laluan bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor bukanlah untuk bersaing dengan pengangkutan awam yang lain, namun ia adalah perkhidmatan yang berorientasikan keperluan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah di kawasan yang disasarkan. Walau bagaimanapun, kajian semula laluan dan waktu perjalanan bas juga akan disemak sekiranya berlaku penurunan jumlah penumpang (ridership) secara berterusan dan perkhidmatan yang disediakan tidak lagi mendapat sambutan.