Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

21) BAS PERCUMA SMART SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah kos untuk melaksanakan Bas Percuma Smart Selangor?

    Pembiayaan kos oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor adalah sebanyak RM800.00 sebuah bas sehari. Jumlah tersebut merangkumi kos penyewaaan, termasuk urusan pentadbiran seperti gaji pemandu dan sebagainya serta pengoperasian dan penyelenggaraan yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada syarikat operator yang dilantik.

    Selain itu, untuk makluman Yang Berhormat, jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk perkhidmatan Bas Smart Selangor bagi tempoh 2018 dan tahun 2019 adalah seperti berikut:

     

    Bil. Peruntukan Tahun 2018 Tahun 2019
    1. Kerajaan Negeri RM17,859,306.00 RM29,780,701.20 (data sehingga September 2019)
    2. Pihak Berkuasa Tempatan RM8,269,640.00 RM9,069,018.00 (data sehingga September 2019)
    Jumlah RM26,128,946.00 RM38,849,719.20

    * Sumber: data UPEN Selangor sehingga 30 September 2019

  2. Apakah rancangan jangka panjang Kerajaan untuk program Bas Percuma Smart Selangor?

    Perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan sasaran modal split 60:40 penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian yang ditetapkan di dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) dapat dicapai menjelang tahun 2035. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor dan keperluan tersebut mempunyai komitmen yang besar dari segi pelaksanaan dan sumber kewangan yang perlu ditampung oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk jangkamasa panjang.

    Bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan Bas Smart Selangor, Kerajaan Negeri amat bergantung kepada peruntukan kewangan yang terhad, manakala bantuan dana daripada Kerajaan Persekutuan juga diperlukan untuk menampung perbelanjaan pengoperasian bas sedia ada oleh Kerajaan Negeri mahupun Pihak Berkuasa Tempatan. Dengan adanya bantuan di pihak Kerajaan Persekutuan, perkhidmatan bas ini dapat diteruskan dengan penambahan laluan yang lebih banyak pada masa hadapan. Selain itu, inisiatif baru yang diperkenalkan dalam perkhidmatan Bas Smart Selangor adalah penyediaan laluan bas ini ke fasiliti-fasiliti kesihatan seperti klinik dan hospital yang terdapat di Negeri Selangor. Inisiatif ini tiada implikasi kewangan atau pertambahan kos kerana hanya melibatkan sedikit pindaan laluan sedia ada. Inisiatif ini juga mendapat kerjasama yang daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membenarkan perkhidmatan Bas Smart Selangor lalu dan masuk ke fasiliti-fasiliti tersebut.

    Kerajaan Negeri juga akan terus mempertingkatkan usaha dalam menggalakkan masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam seperti bas sebagai mod pengangkutan pilihan yang paling mudah dan mempunyai connectivity dengan pelbagai pengangkutan awam yang lain seperti LRT, MRT, BRT dan Komuter.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.