Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

31) BANTUAN ZAKAT

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa banyak bantuan zakat yang telah disalurkan melalui Program Zakat kepada golongan B40 khusus di DUN Sentosa?

    Untuk makluman, bantuan zakat yang disalurkan kepada ketua keluarga B40 yang merupakan asnaf fakir dan miskin di DUN Sentosa adalah seperti berikut:

     

    *BILANGAN PENERIMA & JUMLAH AGIHAN ZAKAT DUN SENTOSA

    BAGI JANUARI-JULAI 2021

    Bilangan Penerima Jumlah Agihan (RM)
    1,306 RM7,898,488

    *Nota: Data belum diaudit

  2. Apakah perancangan Lembaga Zakat Selangor terhadap golongan M40 yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan di Selangor?

    Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, LZS sentiasa berusaha menyantuni golongan asnaf dan mereka yang terjejas di Selangor. Ini termasuklah golongan B40 dan M40 terkesan seperti pekerja yang diberhentikan atau diarahkan cuti tanpa gaji, pekerja yang terlibat dalam pemotongan gaji bulanan, penjaja atau peniaga kecil dan sebagainya.

    Oleh itu, tiga inisiatif agihan melalui dana zakat telah dilaksanakan bermula dari PKP 1.0 hingga PKP 3.0 bagi menyantuni golongan B40 dan M40 yang terkesan seperti berikut:

    i. Bantuan Khas COVID-19 (PKP 1.0) – Merupakan bantuan khas melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM15.0 juta untuk asnaf fakir, miskin dan mualaf serta golongan bukan asnaf terutama dalam kategori B40 dan M40 yang terkesan akibat PKP. Bantuan ini disalurkan bagi meringankan beban golongan tersebut agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh PKP 1.0. Peruntukan ini juga turut disalurkan kepada petugas barisan hadapan (frontliners), hospital dan pusat kesihatan daerah terpilih.

    ii. Bantuan Alternatif Insan Terkesan (BAIT) – Bantuan ini diperkenalkan pada PKP 2.0 dan masih berterusan sehingga PKP 3.0. Ia melibatkan individu yang hilang pendapatan atau diberhentikan kerja, pekerja yang diarah cuti tanpa gaji dan pekerja yang terlibat dalam pemotongan gaji bulanan.

    iii. Bantuan Zakat Selangor Peduli (PKP 3.0) – Melibatkan 19 inisiatif bantuan dengan jumlah keseluruhan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta. Inisiatif bantuan ini akan memberi manfaat kepada 59,322 penerima merangkumi golongan terjejas termasuklah golongan asnaf (fakir, miskin dan mualaf), B40 dan M40 di Selangor serta 431 institusi yang dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember 2021.

    Daripada jumlah agihan tersebut, sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi kelangsungan kumpulan rentan terkesan, terutama golongan B40 dan M40 yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan. LZS mensasarkan seramai 15,000 penerima yang akan menerima bantuan sebanyak RM500 secara ‘one-off’ tertakluk kepada syarat dan kelayakan. Pada masa sama, LZS giat mencari mereka yang terjejas pendapatan melalui kerjasama persatuan-persatuan dan majikan-majikan syarikat pengeluar zakat.

    Di samping itu, bagi memastikan golongan yang terjejas tidak keputusan makanan sewaktu tempoh PKP, LZS telah memperuntukkan lebih 26,350 bakul makanan melalui inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli.

    Manakala sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan melibatkan 700 peniaga yang terkesan pendapatan akibat PKP 3.0 untuk membantu memulakan semula perniagaan mereka. Mereka ini yang telah dikenal pasti ini terdiri daripada usahawan asnaf fakir dan miskin serta bekas usahawan asnaf yang terjejas pendapatan berikutan pandemik COVID-19.

Lampiran

Tiada Lampiran.