Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018
64) BANTUAN USAHAWAN PETANI MUDA
Tahun: 2018
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan Negeri Selangor menyediakan bantuan khusus kepada usahawan petani muda?
Kerajaan Negeri amat memberikan galakan kepada golongan usahawan tani muda untuk menceburkan diri di dalam sektor pertanian. Bagi memastikan hasrat tersebut tercapai, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM3,548,975.00 dalam bentuk bantuan peralatan dan input
-
Jika ada apakah jenis bantuan yg diberikan dan jumlah usahawan petani yg telah menerima bantuan tersebut setakat ini?
Jenis bantuan yang disediakan kepada golongan generasi muda tersebut adalah berbentuk bantuan peralatan dan input pertanian untuk bidang tanaman, ternakan dan akuakultur. Antara program yang menyediakan bantuan kepada golongan tersebut adalah seperti berikut :-
1. Program Agro Generasi Muda Selangor (AGROGEMS)
Program AGROGEMS yang mula dilaksanakan sejak tahun 2015 telah berjaya melatih, memperkasakan serta memberikan maklumat awal kepada seramai 1,044 golongan generasi muda samada sedang melaksanakan projek pertanian atau yang berminat untuk menceburi sektor pertanian.
Daripada jumlah tersebut, seramai 180 usahawan Agrogems telah diberikan insentif untuk membantu mereka meningkatkan lagi produktiviti mereka. Insentif tersebut adalah merupakan bantuan yang berbentuk peralatan dan input pertanian dengan jumlah keseluruhan RM3,344,842.00.
2. Program Warisan Ternak Oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) juga telah melaksanakan program khusus untuk generasi muda iaitu Program Warisan Ternak. Program ini dibuka kepada golongan generasi muda yang berumur 40 tahun ke bawah yang berhasrat untuk meneruskan projek yang telah dimulakan oleh generasi terdahulu seperti datuk, bapa dan bapa saudara masing-masing. Matlamat utama program ini adalah untuk menyelamatkan projek-projek penternakan yang berpotensi, yang menghadapi risiko untuk ditutup sekiranya tidak diteruskan oleh generasi muda.
Dalam Rancangan Malaysia Ke 11, seramai 3 orang generasi muda telah menerima bantuan ternakan iaitu 5 ekor lembu tenusu, 10 ekor lembu pedaging dan 11 ekor kambing yang kesemuanya bernilai hampir RM120,000.
Pada tahun 2017 pula, seramai 3 orang usahawan generasi muda pula telah menerima 5 ekor lembu pedaging setiap seorang dan seorang belia telah menerima 11 ekor bebiri yang keseluruhannya bernilai hampir RM84,000.
Jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan bagi membantu golongan generasi muda melalui program tersebut adalah sebanyak RM204,000.00 yang melibatkan seramai 7 usahawan generasi muda.