Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
145) BANTUAN UNTUK PETANI
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk membantu petani-petani yang terjejas akibat PKP?
Di bawah Program Pakej Kita Selangor 2.0, Kerajaan Negeri telah melancarkan Program Agro Prihatin dan sejumlah RM1,500,000.00 (Kerajaan Negeri sebanyak RM500,000.00 dan PKPS sebanyak RM1,000,000.00 sebagai dana tambahan) telah diperuntukkan untuk membeli lambakan hasil pertanian yang berlaku semasa tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah dilantik sebagai penyelaras untuk mengumpulkan pangkalan data petani yang mengalami kerugian.Talian hotline serta link aduan telah diwujudkan untuk mengumpul aduan berhubung dengan lambakan komoditi pertanian seluruh negeri Selangor.
Program ini telah membantu seramai 156 petani yang menghadapi masalah lambakan hasil dengan jumlah pembelian berjumlah RM552,000.00 untuk tempoh 2 bulan selepas dilancarkan. Antara hasil yang telah dibeli adalah seperti pisang, jagung, ubi dan buah-buahan sebelum ianya dijual semula kepada orang ramai kadar diskaun antara 10% – 30% dari harga pasaran. Secara tidak langsung, program tersebut juga dapat membantu orang ramai untuk membeli pada kadar yang lebih rendah dan seterusnya dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan mereka.
Bagi melancarkan pelaksanaan program tersebut, sejumlah 12 outlet telah diaktifkan bagi memasarkan produk-produk tersebut dan di sebahagiannya akan terus dijadikan sebagai outlet tetap walaupun pelaksanaan PKP ditamatkan pada masa hadapan. Antara lokasi outlet yang diwujudkan adalah di Shah Alam, Meru, Bangi, Pandan, Kota Raja, Dengkil, Puchong dan Selangor Fruit Valley (SFV).
Pihak Jabatan Pertanian Selangor juga telah mengambil tindakan proaktif bagi mengelakkan hasil pertanian rosak atau tidak terjual semasa PKP. Antara tindakan yang telah di laksanakan adalah:
- Memberikan Surat Pengesahan Keterlibatan Dalam Aktiviti Rantaian Pembekalan dan Pemasaran Berkaitan Keperluan Makanan yakni ladang dan premis pemprosesan makanan berskala kecil bagi pengusaha tanaman dan industri asas tani secara individu/ persendirian yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggunakan Sistem eGerakTani. Bagi Syarikat yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) permohonan dibuat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui sistem CIMS 3.0 menggunakan link https://notification.miti.gov.my/login.
- Membuat penemusuaan petani/ pengusaha bersama pihak pemborong dan pemasar untuk mendapatkan bekalan dari kawasan PKPD.
- Menjalankan program CSR dan promosi, iaitu pihak jabatan sendiri yang membeli hasil pertanian kemudian diagihkan kepada kawasan-kawasan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP dan PKPD antaranya perumahan rakyat (PPR), petugas barisan hadapan (PDRM, KKM) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).