Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

177) BANTUAN UNTUK ORANG ASLI DUSUN TUA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah insentif serta bantuan pihak kerajaan kepada masyarakat orang asli di Dusun Tua khususnya bagi mereka menambah sumber pendapatan memandangkan kebanyakan daripada mereka tidak bekerja tetap dan kurang berkemampuan?

    Untuk makluman Yang Berhormat Dusun Tua, Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah mengenalpasti pelbagai program serta bantuan bagi membantu Masyarakat Orang Asli dalam meningkatkan serta menambah sumber pendapatan mereka. Antara program dan bantuan pembangunan ekonomi dan usahawan yang dikenalpasti dan dilaksanakan adalah seperti:

     

    1. Projek Pembangunan Ladang Masyarakat Orang Asli (PLMOA);
    2. Projek Tanam Semula Getah dan Sawit secara Komersial;
    3. Projek Hands Holding yang merangkumi pertanian, penternakan dan perikanan;
    4. Pengembangan Pertanian merangkumi pelaksanaan kursus-kursus pertanian;
    5. Bantuan Input Pertanian seperti bantuan anak benih tanaman, racun, baja dan peralatan pertanian;
    6. Bantuan Bimbingan Usahawan yang berjumlah RM10,000 seorang; dan
    7. Program Bantuan Peralatan Qucik Win Usahawan Orang Asli yang berjumlah RM3,000 seorang.
  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menggalakkan orang asli terlibat dengan sistem pendidikan agar tidak ketinggalan?

    Bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pendidikan, sama ada pendidikan rendah atau tinggi, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan Orang Asli tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan dan mempunyai peluang yang sama dengan kaum lain dengan memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Program-program yang dilaksanakan adalah seperti:

     

    1. Bantuan pakaian seragam sekolah kepada murid Darjah 1 dan Tingkatan 1;
    2. Bantuan wang saku RM4.00 sehari kepada pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5;
    3. Bantuan biasiswa kepada pelajar yang memasuki IPTA;
    4. Yuran Sekolah dan Pelbagai;
    5. Program Motivasi Pelajar; dan
    6. Anugerah Murid Cemerlang Orang Asli (AMCOA).

Lampiran

Tiada Lampiran.