Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

240) BANTUAN UNTUK MANGSA BANJIR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Terdapat kawasan-kawasan banjir seperti Kampung Baru Batu 11 Cheras dan Taman Sri Indah Cheras tidak disenaraikan di dalam sistem Air Selangor dan mengakibatkan mangsa-mangsa tidak dapat pengecualian bil bekalan air mereka, apakah cara penyelesaian Kerajaan Selangor terhadap masalah ini?

    Setakat ini, terdapat tiga (3) kumpulan pemilik akaun air yang layak menerima bantuan pengecualian bil akibat banjir yang melibatkan beberapa kawasan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Disember 2021. Berikut merupakan butiran kumpulan pemilik akaun air yang menerima bantuan pengecualian bil tersebut:

    Kumpulan Pertama:

     Bagi Kumpulan Pertama, senarai pemilik akaun bil air yang layak menerima bantuan pengecualian bil adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor (JPS), Unit Agensi Pengurusan Bencana Negeri Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
     Air Selangor telah membuat semakan di kawasan-kawasan yang terjejas dan menyenarai pemilik akaun air yang layak untuk menerima bantuan pengecualian bil akibat banjir tersebut.
     Dari maklumat yang diperoleh, Air Selangor telah mengenal pasti sebanyak 144,849 pemilik akaun air yang layak menerima bantuan dengan jumlah anggaran pengecualian bil sebanyak RM4.9 juta.
     Bagi kumpulan pertama, caj pengecualian bil air telah diselaraskan ke dalam akaun pelanggan bagi bulan Januari 2022.

    Kumpulan Kedua:

     Bagi kumpulan kedua pula, senarai pemilik akaun bil air yang layak menerima bantuan pengecualian bil adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Pejabat Tanah Dan Daerah Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
     Dari maklumat yang diperoleh, Air Selangor telah mengenal pasti sebanyak 80,976 pemilik akaun air yang layak menerima bantuan pengecualian bil dengan jumlah anggaran RM2.8 juta.
     Bagi kumpulan kedua, caj pengecualian bil akan diselaraskan ke dalam akaun bil pelanggan bagi bulan Februari 2022.

    Kumpulan Ketiga:

     Manakala, bagi kumpulan ketiga, setakat ini, senarai pemilik akaun bil air yang layak menerima bantuan pengecualian bil adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Pejabat Tanah Dan Daerah Klang dan Hulu Langat.
     Dari maklumat yang diperoleh, Air Selangor telah mengenal pasti sebanyak 44,206 pemilik akaun air yang layak menerima bantuan pengecualian bil dengan jumlah anggaran RM1.3 juta.
     Bagi kumpulan ketiga, caj pengecualian bil air akan diselaraskan ke dalam akaun pelanggan bagi bulan Mac 2022.
     Bagi menjawab soalan YB, kawasan Kampung Baru Batu 11 Cheras dan Taman Sri Indah telah dimasukkan dalam senarai Kumpulan Ketiga bagi pengecualian bil yang akan diselaraskan ke dalam akaun pelanggan bagi bulan Mac 2022.

    Setakat ini, secara keseluruhannya, sebanyak 270,031 pemilik akaun air telah dikenal pasti untuk menerima bantuan pengecualian bil dengan jumlah anggaran sebanyak RM9 juta.

    Bagi menjawab soalan YB, Air Selangor telah menerima senarai tambahan penerima bantuan pengecualian bil air akibat banjir dari Kampung Baru Batu 11 Cheras dan Taman Sri Indah melalui Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Langat pada 21 Februari lalu. Air Selangor masih lagi mengenal pasti pemilik akaun air yang layak daripada kawasan-kawasan tersebut untuk disenaraikan dalam kategori kumpulan ketiga pengecualian bil air akibat banjir pada Disember 2021.

Lampiran

Tiada Lampiran.