Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

26) BANTUAN SIHAT SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik Bantuan Sihat Selangor mengikuti DUN.

    Bantuan kesihatan merupakan salah satu keperluan kepada golongan yang memerlukan, terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Bantuan Sihat Selangor (BSS) pada tahun 2009 bagi membantu golongan ini mendapatkan bantuan kesihatan dan perubatan seperti rawatan dialisis, katarak mata, pembedahan kecil mahupun alatan perubahan seperti susu dan lampin dewasa.

    Untuk makluman Yang Berhormat, sebanyak 2,462 permohonan telah diterima sehingga 15 Julai 2022 dengan DUN Sentosa mencatatkan jumlah permohonan paling ramai iaitu sebanyak 157 permohonan manakala DUN Hulu Bernam paling sedikit iaitu sebanyak 8 permohonan. Perinican jumlah permohonan mengikut DUN adalah seperti di Lampiran.

  2. Nyatakan proses dan jadual masa diambil bagi kelulusan Bantuan Sihat Selangor?

    Pemohon yang layak perlu membuat pendaftaran dan permohonan di laman sesawang http://bantuansihat.selangor.gov.my/. Borang permohonan perlu dicetak dan dihantar kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama dokumen sokongan yang telah ditetapkan. Kelulusan permohonan Bantuan Sihat Selangor akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua (2) minggu dari tarikh borang dihantar kepada pihak UPEN bagi proses semakan dan kelulusan daripada pejabat YB Exco Kesihatan Awam, tertakluk kepada dokumen sokongan yang dikemukakan haruslah lengkap dan memenuhi syarat ditetapkan.

  3. Adakah kerajaan berhasrat untuk mempercepatkan kelulusan Bantuan Sihat Selangor?

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan bagi semua program bantuan, termasuk bagi Bantuan Sihat Selangor. Justeru itu, seiring dengan perkembangan teknologi terkini, prosedur permohonan BSS yang sebelum ini menggunakan kaedah manual akan ditambahbaik kepada kaedah secara atas talian. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri dan pihak Selcare Management Sdn Bhd selaku pelaksana program dalam proses memuktamadkan perincian dan kelulusan sistem baharu yang akan dibangunkan bagi memudahkan proses permohonan dan pembayaran kepada pihak penyedia perkhidmatan.