Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

72) BANTUAN SIHAT SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mahu menaikkan bantuan sihat Selangor yang kini hanya RM5K ke jumlah yang lebih tinggi kerana bantuan 5K ini sekarang tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan pesakit yang ada penyakit kritikal seperti rawatan dialisis.

    Program Bantuan Sihat Selangor (BSS) bertujuan bagi meringankan beban kewangan kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan bantuan kesihatan. Ini termasuklah bantuan rawatan dialisis yang seperti kita sedia maklum melibatkan kos yang agak tinggi. Kerajaan Negeri menyedari bahawa bantuan sebanyak RM5,000.00 tidak akan dapat membantu kos rawatan dialisis secara keseluruhannya, namun bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan kos yang perlu dibayar.

    Selaku negeri yang sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya, Program BSS akan diteruskan pada tahun 2022 dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Kerajaan Negeri turut mempunyai perancangan dalam memperluas manfaat di bawah Program BSS melalui pertambahan bantuan talasemia, makanan tambahan (supplement) dan pengangkutan. Berhubung peningkatan kadar bantuan dialisis, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan tersebut bagi memastikan bantuan kesihatan lain di bawah BSS tidak terjejas dan ia turut bergantung kepada kedudukan kewangan semasa Kerajaan Negeri. Dalam hal ini, seharusnya, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah lagi pusat rawatan dialisis secara percuma memandangkan purata kos yang tinggi bagi rawatan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.