Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
100) BANTUAN RUMAH KEBAJIKAN SEPERTI RUMAH ORANG TUA, ANAK YATIM, OKU DAN LAIN-LAIN
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan Selangor dapat memberi bantuan dari segi kewangan untuk membantu rumah kebajikan seperti rumah orang tua, rumah anak yatim bawah kerajaan persekutuan?
Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap rumah-rumah kebajikan yang terdapat di Negeri Selangor sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat persekutuan. Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 setahun kepada badan bukan kerajaan (NGO) termasuk rumah-rumah kebajikan seperti rumah orang tua dan rumah anak yatim melalui bantuan berbentuk kewangan mengikut permohonan dan berdasarkan keperluan di rumah-rumah kebajikan berkenaan.
Selain itu, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor juga turut menyediakan Bantuan Orang Tua (BOT) sebanyak RM350.00 sebulan kepada klien warga emas yang layak dan berusia 60 tahun ke atas. Manakala rumah kebajikan yang berada dibawah operasi jabatan berkenaan adalah seperti Rumah Ehsan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dan Rumah Seri Kenangan di Cheras menyediakan perkhidmatan penjagaan termasuk makan minum kepada penghuni secara percuma dan turut menerima sumbangan daripada orang awam sebagai salah satu punca pendapatan mereka.
Maklumat Tambahan
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, selain dari bantuan kewangan seperti Geran Pentadbiran, Geran Rangsum, Geran Per Kapita dan Geran Pembaikan terdapat bantuan lain yang diberikan dalam meringankan beban rumah kebajikan antaranya;
- Bantuan sokongan permohonan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan
- Perkhidmatan kempen advokasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bertujuan untuk membantu pengendali atau rumah-rumah kebajikan berdaftar. Objektif kempen ini diadakan adalah seperti
- Menghimpun kesemua pengendali Pusat Jagaan yang tidak berdaftar untuk tujuan advokasi;
- Memberi penjelasan dan kefahaman kepada pengendali pusat jagaan mengenai peruntukan Akta Pusat Jagaan 1993;
- Memberi pendedahan mengenai proses pendaftaran berasaskan standard minimum Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah ditetapkan;
- Memberi peluang pengendali Pusat Jagaan yang tidak berdaftar untuk bertemu dengan wakil agensi-agensi teknikal pada waktu dan di tempat yang sama (One Stop Service); dan
- Meningkatkan kualiti perkhidmatan agensi kerajaan melalui kerjasama strategik dan memudahkan orang awam untuk melancarkan proses pendaftaran.
-
Selain dari segi kewangan, apakah bantuan dapat diberi oleh kerajaan untuk meringankan beban rumah kebajikan?
Sama seperti di SUB (b)