Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
187) BANTUAN PERNIAGAAN
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauh mana keberkesanan program galakan barangan eksport untuk para peniaga di Selangor?
Untuk makluman, selepas pandemik COVID19, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah mengadakan inisiatif menyertai pameran dan ekspo luar negara bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan agar dapat meneroka pasaran eksport. Penglibatan dalam pameran seperti ASEAN Halal Expo 2022, Thailand, Gulfood 2022, Dubai dan Selangor Day, London memberikan pendedahan kepada para peserta dan usahawan tentang bagaimana penerimaan sesuatu produk di pasaran antarabangsa seperti jenama, imej, pembungkusan, maklumat produk, tahap rasa (tongue taste) dan kuantiti produk (consumption quantity). Silang budaya dan persamaan terhadap sesuatu negara dapat mengembangkan lagi produk-produk tempatan di peringkat antarabangsa. Selain itu penerokaan ke pasaran baru merupakan percubaan (try and error) bagi sesuatu negara mencuba dan merasai produk baru yang berbeza daripada makanan ruji atau makanan kebiasaan tempatan. Selain itu, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan menjalankan kerjasama bersama agensi dan pihak ketiga menerusi pembangunan dan pengembangan pasaran produk seperti Selangor Youth Community (SAY), KOHIJRAH dan MATRADE.
-
Senaraikan peserta di bawah program Kerajaan Negeri dan jenis barangan yang telah berjaya dieksport ke luar negara?
Berdasarkan penyertaan Kerajaan Negeri pada pameran dan ekspo antarabangsa tersebut, terdapat permintaan produk usahawan tempatan namun terdapat kekangan dari segi kos logistik dan hab pengedaran (distribution centre). Walau bagimanapun Kerajaan Negeri dengan usahasama KOHIJRAH sedang dalam perbincangan bagi cadangan untuk mewujudkan hab pengedaran di London dan Turki bagi pasaran produk runcit dan berskala besar. Manakala melalui program bersama SAY, beberapa usahawan telah berjaya menembusi pasaran antabangsa seperti berikut:
- Innersejuk ( modest sportwears) – United Kingdom
- Susu Tepung Anglomac – Maldives
- Cookies Most Wanted – Jepun
- Avantcom Skincare – Filipina