Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

9) BANTUAN PENDIDIKAN TINGGI

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah initiatif Kerajaan untuk membantu keluarga yang tidak mampu untuk membiayai anak untuk melanjut pelajaran di kolej atau universiti?

    Kerajaan Negeri mengambil inisiatif membantu anak-anak Selangor dari keluarga yang berpendapatan RM5,000.00 ke bawah dengan memberi Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (HPIPT) iaitu Hadiah RM1,000.00 untuk meringankan beban untuk tujuan kemasukan ke kolej dan universiti di dalam dan luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan.

    Bantuan Sara Diri juga merupakan inisiatif yang dilaksanakan bermula tahun 2015 diberi khas kepada mahasiswa kelahiran Selangor yang melanjutkan pengajian sepenuh masa di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Kemahiran INPENS. Bantuan kewangan ini diberikan secara ‘one-off’ kepada keluarga berpendapatan RM5,000.00 ke bawah dengan bantuan sebanyak RM800.00 untuk 3 bulan pertama sahaja.

    Selain itu, pembiayaan pendidikan kemahiran juga diberi kepada anak-anak daripada keluarga yang berpendapatan rendah yang menuntut di Kolej Antarabangsa INPENS yang merangkumi yuran pengajian dan asrama untuk mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

    Kerajaan Negeri melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada anak Selangor dimana keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Di antara program bantuan pendidikan di bawah TKWBNS adalah seperti berikut:

    1. Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor. Program ini merupakan bantuan pendidikan dalam bentuk pinjaman tanpa faedah dengan jumlah peruntukan RM16.3 juta setahun untuk pengajian prasiswazah di universiti awam dan swasta dalam negara.
    2. Program Khas Peduli Siswa pula merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri yang diperkenalkan pada tahun 2017 dalam bentuk pinjaman boleh ubah untuk Pelajar yang melanjutkan pengajian prasiswazah di universiti awam dalam Selangor iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putera Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
    3. Peduli Siswa Timur Tengah yang merangkumi Pinjaman Boleh Ubah Luar Negara dan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar Selangor bagi pengajian peringkat pra-siswazah dan pasca-siswazah di Mesir, Jordan dan Maghribi.
    4. Program Khas Biasiswa Selangorku & Biasiswa Khas Sagong Tasi bagi anak Selangor daripada luar bandar dan Orang Asli untuk melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (UNISEL), Kolej INPENS dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
  2. Nyatakan berapa pemohonan HPIPT yang telah diluluskan sejak 2008 sehingga 2018?

    Jumlah permohonan HPIPT yang telah diluluskan sejak 2008 hingga Oktober 2018 ialah seramai 68,066 orang. Butiran jumlah calon yang berjaya seperti di jadual di bawah :

Lampiran

Tiada Lampiran.