Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

127) BANTUAN PENDIDIKAN ANAK PEKERJA LADANG

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah perbelanjaan untuk pendidikan anak pekerja ladang pada tahun 2016.

    Peruntukan di bawah Program Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM1 juta bagi tahun 2016. Peruntukan tersebut adalah dikhususkan untuk melaksanakan program-program di bawah Portfolio. Daripada keseluruhan peruntukan tersebut, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM960,262.00 sehingga Oktober 2016 merangkumi kesemua program melibatkan pendidikan anak-anak pekerja ladang. Baki peruntukan sebanyak RM39,738.00 telah ditambah berdasarkan penyaluran dari Peruntukan Pembangunan Program Kerajaan Prihatin dan Pembangunan Pekerja Ladang sebanyak RM102,000.00 yang menjadikan baki terkini berjumlah RM141,738.00. Baki tersebut akan digunapakai dalam masa terdekat memandangkan terdapat beberapa lagi program yang telah mendapat kelulusan akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini.

  2. Senaraikan bantuan yang telah diberikan oleh Kerajaan Neger

    Portfolio Program Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang ditubuhkan khusus untuk memberi bantuan kewangan dalam aspek kebajikan dan pendidikan. Skim ini terbuka kepada seluruh anak-anak pekerja ladang di negeri Selangor yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Program-program yang dianjurkan adalah khusus untuk menjaga kebajikan pekerja ladang dalam meringankan bebanan yang ditanggung dalam kehidupan seharian.

    Antara program-program yang telah dilaksanakan di sepanjang tahun  khusus bagi tujuan tersebut adalah seperti berikut:

    Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bus Sekolah

    Pemberian wang RM300.00 kepada setiap anak pekerja ladang bagi setiap tahun berdasarkan permohonan yang diterima dapat mengurangkan perbelanjaan seisi keluarga.

    Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia

    Bantuan Yuran Pengajian maksima sebanyak RM5000.00 setiap pelajar bagi satu jurusan bagi mengurangkan bebanan yuran pengajian anak-anak kepada ibu bapa.

    Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR)

    Penyampaian anugerah adalah berdasarkan keputusan UPSR yang diperolehi oleh pelajar terbabit. Ia dilaksanakan sebagai penghargaan kepada anak-anak pekerja ladang yang telah berjaya dan secara tidak langsung kepada ibu bapa yang pekerja ladang.

    Program – program Motivasi UPSR untuk anak pekerja ladang

    Program ini dianjurkan adalah sebagai satu langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak di Negeri Selangor khususnya anak pekerja ladang mendapat pendidikan yang sempurna. Program berbentuk seminar ini dilaksanakan khusus untuk membantu anak pekerja ladang yang akan mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai persediaan sebelum menghadapi peperiksaan dan teknik menjawab peperiksaan.

    Di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Pekerja Ladang, Kerajaan Negeri memandang serius akan pendidikan anak-anak pekerja ladang bagi membantu mereka untuk lebih maju dan bersaing dengan pelajar di luar sana. Program sebegini secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu pendidikan anak pekerja ladang. Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengekalkan bantuan-bantuan sedia ada yang dilaksanakan dan akan menambahbaik program-program tersebut dari masa ke semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.