Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

323) BANTUAN PEMAKANAN SIHAT UNTUK ANAK-ANAK

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah statistik kanak-kanak yang kekurangan zat makanan atau stunting di negeri Selangor? Bagaimanakah kerajaan membantu keluarga miskin bandar bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pemakanan yang mencukupi?

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat kepada keluarga miskin bandar bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pemakanan yang mencukupi.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) adalah satu bateri ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan. SEGAK mula dilaksanakan pada Tahun 2008 kepada murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun hingga 17 Tahun. SEGAK yang dijalankan secara sistematik wajib dijalankan dua kali setahun pada bulan Mac dan Ogos. Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) melibatkan murid Berumur 10 hingga 17 Tahun dan Standard Pengukuran Indeks Jisim Badan untuk Murid Sekolah Malaysia Berumur Lima hingga Sembilan Tahun (BMI 5-9T).  Melalui keputusan ujian BMI 5-9T, status ujian BMI akan melihat dari aspek kurus, berat badan normal, berlebihan berat badan dan obesiti. Manakala keputusan Ujian Kecergasan Fizikal, status kecergasan fizikal akan melihat aspek kecergasan sangat tinggi, kecergasan tinggi, cergas, kurang cergas dan tidak cergas. Statistik kanak-kanak yang kekurangan zat makanan atau stunting adalah di bawah kawalan Pasukan Kesihatan Sekolah yang diuruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD

    Antara program yang telah dilaksanakan kepada anak- anak ini adalah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Program RMT merupakan bantuan makanan tambahan kepada murid sekolah rendah yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini bertujuan menyediakan makanan berkhasiat yang mengandungi nutrisi seimbang kepada murid bagi membantu mereka memberi tumpuan kepada pembelajaran. Data penerima RMT pada 30 November 2024, menunjukkan seramai 61,370 orang murid sekolah rendah telah menerima manfaat daripada program ini berdasarkan kriteria Paras Garis Kemiskinan (PGK) 2019 iaitu pendapatan RM 1169 atau perkapita RM 310.

    Untuk pengoperasian RMT 2025, PGK yang akan digunapakai ialah RM 1198 atau perkapita RM 322.

    Selain itu, murid- murid ini juga telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan Program Susu Sekolah (PSS), Program Susu Sekolah (PSS) merupakan sokongan kepada pemerkasaan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diberikan kepada murid yang layak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Pelaksanaan program ini bertujuan untuk membekalkan nutrisi yang mencukupi dan pemakanan yang seimbang serta memupuk amalan meminum susu supaya murid kekal sihat dan cergas.

     

    Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sentiasa memantau taraf pemakanan kanak-kanak bawah 5 tahun yang hadir mendapat perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan. Masalah bantut merupakan masalah kekurangan zat makanan kronik, di mana kanak-kanak ini tidak mendapat makanan yang mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti dalam suatu tempoh masa yang lama. Kita sedia maklum mengenai risiko masalah pertumbuhan terutamanya masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.

    Masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah yang serius di Malaysia dimana didapati ramai kanak-kanak tidak mencapai ketinggian yang sepatutnya untuk umur mereka. Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey) pada tahun 2022, prevalens bantut dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun di negeri Selangor adalah 22.2%. Ianya telah meningkat sebanyak 3.7% berbanding prevalens pada 2016, iaitu 18.5%.

    Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada kanak-kanak, bermula daripada mereka di dalam kandungan ibu lagi. Ianya merangkumi penjagaan kesihatan berkala untuk ibu yang sedang hamil dan selepas melahirkan, serta penjagaan kesihatan bayi dan kanak-kanak itu sendiri.

    Perkhidmatan teras ini disampaikan melalui Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak di klinik-klinik kesihatan, dan dilaksanakan oleh anggota kesihatan yang terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan, Pegawai Pemakanan, dan Jururawat. Pada masa yang sama, aktiviti promosi dan pendidikan pemakanan yang disasarkan kepada ibu bapa atau penjaga turut dilaksanakan di klinik-klinik kesihatan dan di komuniti. Disamping itu juga, salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan status pemakanan kanak-kanak dalam lingkungan umur 6 bulan hingga 6 tahun yang mengalami masalah kekurangan zat makanan daripada keluarga tidak berkemampuan adalah pemberian bantuan bakul makanan di bawah Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM). Kanak-kanak ini juga perlu dipastikan menerima imunisasi, disamping pendidikan kepada ibu bapa mereka mengenai penjagaan kesihatan serta pemakanan anak tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.