Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

153) BANTUAN PELAJAR LEPASAN SPM

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang sedia ada bagi membantu para pelajar yang bakal masuk ke IPT?

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Tabung Kumpulan Wang Biaisiswa Negeri Selangor (TKWBNS) menyediakan pembiayaan kepada pelajar Anak Selangor untuk melanjutkan pengajian ke Instituti Pengajian Tinggi (IPT). TKWBNS menyediakan Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTA di seluruh negara dan IPTS yang diiktiraf di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    Di samping itu, permohonan Hadiah Pengajian IPT (HPIPT) sebanyak RM1,000 dibuka kepada Anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah yang telah mendaftarkan diri bagi memulakan sesi pengajian di IPTA dan IPTS (yang diiktiraf) di seluruh negara dengan kuota 3000 pelajar setahun.

    Selain itu di bawah di bawah Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti juga menyediakan Program Bantuan Yuran Pengajian (BYP) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Program ini bertujuan membantu para pelajar komuniti India di kalangan B40 melalui Pemberian bantuan yang pada awalnya terhad kepada anak pekerja ladang, telah ditambahbaik dengan skop bantuan diperluas kepada pelajar B40 di kalangan masyarakat India berpendapatan isi rumah RM2,000.00 dan ke bawah.

    Pemberian bantuan dengan kadar maksimum RM5,000.00 bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda dan RM3,000.00 bagi jurusan Diploma diberikan secara one-off untuk setiap pelajar dengan bantuan disalurkan secara terus (melalui cek atau Electronic Fund Transfer) kepada IPTA dan IPTS berkenaan. Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM1,981,749.95 bagi pembayaran BYP tahun 2023 yang memberi manfaat kepada 502 pelajar B40 komuniti India.

    Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.09 juta bagi menampung pelaksanaan Program Bantuan Yuran Pengajian. Kerajaan dalam proses semakan permohonan kelulusan penyaluran Fasa 1 tahun 2024 yang dijangka selesai dilaksanakan pada bulan Ogos 2024.

  2. Adakah manfaat yang sama boleh dipohon oleh pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat Tingkatan Enam?

    Pada masa ini, permohonan Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara dan HPIPT tidak dibuka kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat Tingkatan Enam disebabkan ia telah pun disubsidi oleh Kerajaan dan kos pengajian tidaklah tinggi seperti pengajian di peringkat diploma atau ijazah.

  3. Adakah kerajaan menyediakan platform kemasukan IPT?

    Kerajaan Negeri Selangor tidak menyediakan platform kemasukan ke IPT. Sebaliknya, anak-anak Negeri Selangor yang berkelayakan boleh memohon untuk memasuki ke Universiti Selangor (Unisel) yang merupakan pusat pengajian tinggi yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.