Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

71) BANTUAN NGO KERAJAAN PRIHATIN

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah peruntukan RM500 ribu bantuan NGO Kerajaan Prihatin yang telah disalurkan kepada NGO pada tahun ini.

    1. Sebagaimana Yang Berhormat Kuala Kubu Bharu sedia maklum, sebanyak RM500,000.00 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah Program Bantuan Sumbangan Kepada Badan – badan Bukan Kerajaan (NGO). Bermula pada tahun 2017, peruntukan tersebut telah dipecahkan kepada lima (5) Jawatankuasa Tetap terlibat seperti berikut :

     

    PORTFOLIO PERUNTUKAN
    Kerajaan Prihatin RM100,000.00
    Kebajikan RM100,000.00
    Pembangunan Generasi Muda RM100,000.00
    Pendidikan RM100,000.00
    Hal Ehwal Agama Islam RM100,000.00
    JUMLAH RM500,000.00

     

    Untuk makluman Yang Berhormat Kuala Kubu Bharu, pada tahun 2018 Kerajaan Negeri di bawah lima (5) Jawatankuasa tersebut telah membelanjakan peruntukan sedia ada sebanyak RM334,000.00 bagi tujuan pemberian sumbangan kepada NGO – NGO di Negeri Selangor. Sumbangan tersebut adalah disampaikan melalui cek di atas nama persatuan dan had maksimum sumbangan tetap ditetapkan sebanyak RM5,000.00 bagi satu persatuan. Jumlah sumbangan adalah berdasarkan kelulusan dan pertimbangan Yang Berhormat EXCO yang berkenaan berpandukan Garis Panduan sedia ada. Walau bagaimanapun, keutamaan permohonan adalah diberikan kepada NGO – NGO yang melaksanakan program atau aktiviti kebajikan yang bersasarkan anak yatim, ibu tunggal, orang tua dan orang kurang upaya (OKU). Kerajaan Negeri mensasarkan baki peruntukan

    berjumlah RM166,000.00 akan habis digunakan pada tahun ini memandangkan jumlah permohonan yang diterima daripada NGO – NGO amat menggalakkan.

     

  2. Apakah modus operandi permohonan bantuan tersebut memandangkan terdapat EXCO-EXCO baru selepas PRU ke-14?

    Kerajaan Negeri setakat ini masih mengekalkan modus operandi sedia ada berpandukan Garis Panduan Pemberian Sumbangan Kepada Badan – badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkuatkuasa melibatkan lima (5) Jawatankuasa yang masing – masing dipengerusikan oleh Yang Berhormat EXCO Negeri Selangor. Sebarang cadangan pindaan dan penambahbaikan garis panduan perlu dibentangkan di dalam Majis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melalui pengesahan dan persetujuan Yang Berhormat EXCO yang berkenaan. Justeru itu, bagi mana -mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin memohon, pihak mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Yang Berhormat EXCO – EXCO yang berkenaan. Yang Berhormat EXCO yang berkenaan akan mempertimbang dan memutuskan jumlah yang akan diberikan kepada setiap permohonan tersebut berdasarkan baki peruntukan sedia ada dan garis panduan yang telah ditetapkan sepertimana berikut :

    1. Tujuan penubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) mestilah bertujuan kebajikan dan tidak berorientasikan keuntungan.
    2. Sumbangan oleh Kerajaan Negeri kepada NGO tidak melebihi RM5,000.00 selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
    3. Permohonan yang melibatkan kepentingan NGO dan kurang memberi manfaat kepada masyarakat setempat akan ditolak dan tidak akan dipertimbangkan. Contohnya: Lawatan sambil belajar atau majlis makan malam hanya untuk ahli NGO sahaja.
    4. Setiap Badan Bukan Kerajaan (NGO) hanya layak untuk membuat satu permohonan sahaja dalam tempoh setahun.
    5. Segala bentuk permohonan yang melibatkan aktiviti keagamaan adalah tidak layak memohon.
    6. Permohonan oleh kelab-kelab di bawah Universiti yang menggunakan satu akaun yang sama adalah layak memohon.
    7. Permohonan yang dikemukakan oleh DUN / Parlimen / JKK / Pembangunan Luar Bandar (PLB) adalah tidak layak untuk dipertimbangkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.