Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
74) BANTUAN MANGSA BANJIR DAN PELAN ATASI BANJIR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah bantuan dan pampasan yang telah disalurkan dan diterima oleh mangsa-mangsa banjir mengikut kawasan yang terjejas?
Kerajaan Negeri telah menyumbangkan sebanyak RM132,628,000.00 Bantuan Selangor Bangkit kepada 126,041 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 17 waris mangsa banjir yang meninggal dunia semasa kejadian banjir Disember 2021 bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
-
Apakah perancangan dan pelan tindakan untuk mengatasi masalah banjir besar tidak berulang lagi dimasa akan datang?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membuat perancangan pengurusan banjir melalui 2 kaedah iaitu langkah struktur dan langkah bukan struktur dalam menangani isu banjir pada masa akan datang.
Langkah struktur melibatkan projek tebatan banjir yang merangkumi komponen seperti berikut:-
- (i) Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir.
- (ii) Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi di samping untuk tujuan pengurusan banjir. Maklumat Tambahan SJAM adalah seperti di Lampiran A.
- (iii) Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat.
- (iv) Pembinaan pintu kawalan air dan rumah pam yang diintegrasikan dengan Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data Berkomputer (SCADA) bagi pintu air di kawasan yang berisiko tinggi mengalami banjir. Pintu Air ini akan dikawal secara automatik dan juga boleh dikawal serta dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.
- (v) Melebar dan mendalamkan sungai seperti “Projek Mendalamkan dan Melebarkan Sungai Klang Termasuk Meninggikan Ban Sungai Klang” dengan anggaran kos sebanyak RM700 juta telah dibentangkan oleh JPS pada bulan Februari 2022 dan dalam proses pertimbangan oleh Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan oleh Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) iaitu Landasan Lumayan Sdn. Bhd.
- (vi) Menaiktaraf sistem saliran.
Langkah bukan struktur pula terdiri daripada komponen-komponen seperti berikut:-
- (i) Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang berupaya meramal kejadian banjir monsun 7 hari lebih awal, memberi amaran banjir monsun 2 hari lebih awal, ketepatan ramalan aras air (+/- 0.5m) dan ramalan banjir kilat 1-3 jam lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, PRAB juga berupaya memberi amaran dan hebahan banjir monsun dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir. Perolehan program ini telah bermula pada September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2024. Program ini merangkumi pengesanan, ramalan, amaran dan hebahan.
- (ii) Pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi termasuk Sistem Siren Amaran Banjir untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.
- (iii) Pembangunan Sistem Pemantauan Banjir melalui laman web Infobanjir Negeri Selangor untuk memberi amaran awalan banjir kepada orang awam mengenai status paras air sungai, taburan hujan dan kamera pemantauan status banjir.
- (iv) Penggunaan garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menetapkan keperluan mandatori yang perlu dipatuhi bagi pembangunan baru di kawasan bandar.
- (v) Pendekatan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu dan Pengurusan Banjir Bersepadu bagi rancangan pengurusan banjir. Ini akan memberikan pendekatan yang lebih seimbang antara langkah-langkah struktur dan bukan-struktur serta tahap penyertaan masyarakat yang lebih tinggi.
- (vi) Kajian Lembangan Sungai dan Tebatan Banjir serta Kajian Pelan Induk Saliran.
- (vii) Pengurusan kawasan tadahan yang merangkumi kawalan pembangunan, pemeliharaan tanah dan pengurusan penggunaan tanah tinggi.
- (viii) Peta Hazard Banjir yang digunakan untuk tujuan penilaian risiko bagi mengurangkan kerugian akibat banjir.
- (ix) Kajian semula keupayaan dan operasi empangan di bawah LUAS dan Syarikat Air Selangor untuk mengkaji kesesuaian Empangan Sg. Langat dan Empangan Sg. Semenyih digunakan untuk tujuan operasi kawalan banjir.
Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM57.95 juta pada tahun 2022 kepada JPS untuk melaksanakan projek di bawah RMKe-12 (2021 – 2025) seperti berikut:-
- (i) Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan kos tahun semasa RM12.0 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM253.15 juta.
- (ii) Pembangunan Sistem Saliran dengan kos tahun semasa RM9.2 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM113.0 juta.
- (iii) Pembangunan Lembangan Sungai dengan kos tahun semasa RM15.6 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM83.9 juta.
- (iv) Pembangunan Sumber Air dan Hidrologi dengan kos tahun semasa RM1.2 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM6.0 juta.
- (v) Pembangunan Saliran Mesra Alam dengan kos tahun semasa RM9.0 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM53.3 juta.
- (vi) Pembangunan Pantai dengan kos tahun semasa RM5.2 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM24.9 juta.
- (vii) Pembangunan Infrastruktur Mekanikal dan Elektrikal dengan kos tahun semasa RM4.0 juta daripada kos keseluruhan berjumlah RM11.75 juta.
Susulan daripada kejadian banjir pada bulan Disember 2021 dan Mac 2022, tindakan susulan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui JPS adalah dengan melaksanakan kerja-kerja pasca banjir seperti berikut:-
- (i) 37 kerja segera berjumlah RM39.675 juta yang merangkumi skop mengorek sungai, pengorekan kolam dan perolehan pam bergerak.
- (ii) 12 kerja-kerja kritikal berjumlah RM9.18 juta yang merangkumi skop membaikpulih ban dan perolehan genset dan sistem siren.
- (iii) 70 kerja-kerja pasca banjir berjumlah RM12.2 juta menggunakan Peruntukan Pembangunan Negeri (P13) yang merangkumi skop kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan tebing sungai, penyelenggaraan sungai dan pantai serta kerja-kerja penyelenggaraan rumah pam dan pintu air.
- (iv) 293 kerja-kerja pasca banjir berjumlah RM70 juta menggunakan Peruntukan Pembangunan Persekutuan yang merangkumi skop pemuliharaan sungai dan pembaikan sturktur.
Maklumat Tambahan Mengenai Skim Jaminan Air Mentah (SJAM)
Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan semua agensi membuat persediaan seperti berikut:-
- Perancangan di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang merangkumi 2 fasa, iaitu Fasa 1 bagi menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor dan Fasa 2 bagi memastikan kecukupan air mentah dalam menghadapi musim kemarau;
- Di bawah SJAM Fasa 2, Kerajaan Negeri menumpukan kepada Program Pengurusan Sumber Air secara holistik bagi memastikan simpanan air mencukupi untuk menampung permintaan pada ketika itu. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melaksanakan pembangunan inventori menyenaraikan semua kolam takungan dan tasik di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor akan memanfaatkan semua kolam takungan dan tasik yang telah disenaraikan tersebut sebagai sumber air alternatif semasa musim kemarau selain dari kolam takungan di bawah Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sedia ada;
- Kerajaan Negeri Selangor juga meneliti semua prasarana yang berkaitan dengan bekalan air seperti jajaran paip dan sistem pengepaman supaya boleh dioperasikan apabila diperlukan semasa kemarau kelak;
- Beradasarkan kepada unjuran bekalan dan permintaan air yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), unjuran bekalan air pada tahun 2025 adalah sebanyak 7,156 Juta Liter Sehari (JLH) manakala unjuran permintaan air adalah sebanyak 6,131 JLH. Unjuran ini dbuat berdasarkan kepada pereancangan sekiranya Skim Air Sungai Rasau yang telah diluluskan pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri Selangor dapat disiapkan sepenuhnya pada akhir tahun 2024. Fasa 1 Skim ini dapat membekalkan air sebanyak 700 JLH bagi menampung permintaan kawasan Klang dan siapnya projek ini dapat meningkatkan rizab bekalan air kepada 14.3%;
- LUAS bersama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengenalpasti dan menyenaraikan punca air bawah tanah untuk dijadikan sebagai sumber air;
- Kerajaan Negeri bersama dengan Air Selangor akan menggiatkan lagi kempen Jimat Air bagi memastikan penggunaan air yang berhemah; dan
- Air Selangor memastikan fasiliti seperti lori tangki, rumah pam dan lain-lain sentiasa dalam keadaan siap siaga.