Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
174) BANTUAN KHAS WARGA OKU
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan program latihan pemberdayaan bagi warga OKU di Selangor dan di Dusun Tua khasnya.
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dalam menyantuni golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terutama golongan Anak Isimewa Selangor (AnIS) tanpa mengira bangsa, agama mahupun kategori umur dan sentiasa menjadi keutamaan di dalam arus pembangunan Negeri dan dizahirkan melalui penyediaan peruntukan di dalam Belanjawan Negeri Selangor setiap tahun. Pelbagai program telah disediakan untuk dimanfaatkan oleh bukan sahaja kepada anak-anak istimewa itu sendiri malah turut memberi manfaat kepada ibu bapa, penjaga, pendidik, sukarelawan dan masyarakat disekeliling.
Dalam usaha untuk membantu anak OKU selepas sekolah menengah, Kerajaan Negeri melalui program Iltizam Anak Istimewa Selangor (AnIS) telah mewujudkan Independent Living Support Centre (ILSC). ILSC menyediakan latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan kepada golongan OKU berusia 17 tahun ke atas. Program ini akan dapat membina OKU berdikari dan mampu meningkatkan potensi diri selain menambah produktiviti negara. Setakat ini, seramai 14 graduan telah menamatkan latihan mereka di ILSC.
Antara program utama di bawah ILSC yang dilaksanakan bersesuaian dengan keperluan semasa belia OKU iaitu Employment Transition & Work Readiness (ETWR). Employment Transition & Work Readiness (ETWR) ialah program persediaan ke arah kerjaya untuk Murid-Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang memberi pendedahan literasi kerjaya secara praktikal kepada MBPK. Tempat dan kursus-kursus yang ditawarkan adalah seperti berikut:
- Rumah Amal Cheshire
- Kursus Jahitan mengendalikan selama 4 bulan. Kursus Teori selama 3 bulan dan Latihan Industri sebulan.
- Kursus Bakeri mengendalikan selama 3 bulan. Kursus Teori selama 2 bulan manakala Latihan Industri sebula
- Infinite Minds Academy
- Pengurusan Pejabat
- Teknologi Digital
- Kecerdasan Buatan (Artifical Intelligence)
-
Adakah mereka mandapat kuota khas bagi memiliki rumah mampu milik di bawah skim perumahan Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri juga turut memberikan keutamaan tawaran kepada golongan OKU yang berminat untuk memiliki Rumah Selangorku dengan penyediaan unit-unit bagi OKU di tingkat bawah khas untuk golongan OKU yang terhad dari segi pergerakan (mobility impaired), Dasar Rumah Selangorku 3.0 yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri turut mensyaratkan pemaju agar mematuhi keperluan OKU melalui pematuhan garis panduan Malaysia Standard MS1184 “Code of Practice on Access For Disable Person To Public Buildings”.
Melalui garis panduan ini, setiap unit Rumah Selangorku yang dibina akan disyaratkan menyediakan kemudahan dan fasiliti mesra OKU bagi membolehkan golongan tersebut mengakses kediaman mereka dan setiap fasiliti yang disediakan dalam sesuatu pembangunan Rumah Selangorku. Oleh yang demikian, golongan OKU yang tidak tergolong dalam kategori mobility impaired boleh memiliki mana-mana unit yang dikehendaki dan tidak terhad di unit di tingkat bawah. Pemilihan penawaran nama juga dibuat khusus kepada pemohon dikalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk ditawarkan unit OKU.
-
Adakah warga OKU ini mendapat sokongan program usahawan daripada kerajaan?
Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Keusahawan dan Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi memastikan golongan sasar termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) agar mampu menjana ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Di antara tindakan Kerajaan Negeri melalui pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan adalah seperti Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan sebagainya.