Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

23) BANTUAN KEWANGAN PEMBEDAHAN KANSER

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan untuk memberi bantuan kewangan untuk penghidap kanser untuk pembedahan kanser?

    Selaku negeri yang sentiasa mengutamakan aspek penjagaan kesihatan rakyat, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan perubatan dengan cepat dan berkualiti. Antaranya adalah melalui program Iltizam Selangor Sihat (ISS), Skim Rawatan Jantung, Insentif Rawatan Tibi dan Bantuan Sihat Selangor (BSS).

     

    Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah ke hadapan apabila memperkenalkan Program Selangor Saring yang bertujuan untuk melakukan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi dan beberapa penyakit kanser yang terpilih seperti prostat, serviks, payu dara dan kolorektal.

     

    Berhubung bantuan pembiayaan bagi pembedahan kanser, Kerajaan Negeri di bawah program Bantuan Sihat Selangor (BSS) ada menyediakan bantuan bagi pesakit kanser mendapatkan rawatan termasuk bagi pembedahan dengan had jumlah pembiayaan sebanyak RM5,000 bagi setiap kali permohonan. Individu yang memenuhi syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan dengan melayari laman sesawang http://bantuansihat.selangor.gov.my.

Lampiran

Tiada Lampiran.