Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

216) BANTUAN KEWANGAN KEPADA SME

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bantuan yang telah disalurkan kepada pengusaha SME?

    Pengusaha SME memainkan peranan yang besar dalam pertumbuhan sektor ekonomi di Selangor. Berdasarkan rekod sebanyak lebih kurang 13,089 syarikat SME yang berdaftar dengan SME Corp di Selangor.

    Berbagai bentuk bantuan disediakan untuk pengusaha SME sama ada di pihak Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Secara dasarnya, Kerajaan Persekutuan menyediakan berbagai insentif kepada pengusaha – pengusaha SME samada berbentuk kewangan dan juga tidak berbentuk kewangan.

    Dalam membantu pengusaha SME di Selangor, Kerajaan Negeri tidak menyediakan bantuan kewangan secara terus. Kerajaan Negeri menyediakan sejumlah peruntukan khusus bagi perlaksanaan program – program untuk membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan, produk keluaran syarikat selain membuka peluang pasaran ke peringkat global. Antara program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri seperti;-

     

    1. Program Pemasaran;

     

    • Program Kempen Selangor e-Bazar.

    Membantu perusahaan Kecil dan Sederhana untuk memasarkan produk keluaran secara online melalui program E-Bazar Raya 2021 dan E-Bazar Chinese New Year (CNY) 2021 yang melibatkan kerjasama dengan pihak Shoppe dan Lazada.

     

    • Selangor International Business Summit (SIBS) 2021.

    Dalam usaha membantu mempromosikan produk keluaran pengusahan SME melalui program pameran seperti SIBS 2021. Selangor International Business Summit Hybrid 2021 (SIBS 2021)’ edisi kelima akan diadakan pada 18 – 21 November 2021 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre dan juga secara virtual di www.selangorbusinesshub.my. Menerusi SIBS 2021, ia akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan untuk kepentingan bersama.

     

    Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hub perdagangan bagi rantau ASEAN

     

    Antara komponen-komponen program:

    1. Selangor International Expo (F&B)
    2. Selangor International Expo (MEDIC)
    3. Selangor Industrial Park Expo (SPARK)
    4. Selangor ASEAN Business Conference (SABC)
    5. Selangor Smart City and Digital Economy (SDEC)
    6. Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE)
    7. Selangor International Halal Conference (SIHC)
    8. Selangor International Culinary Festival

     

    1. Program Digitalisasi dan Penyediaan ke arah IR 4.0

     

    • Inisiatif Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor

    Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor di mana SIDEC Sdn Bhd, dibawah Selangor Information Technology and Digital Economy Council (SIDEC) sebagai agensi perlaksana.

    Geran tersebut membantu perniagaan Selangor, terutamanya sektor traditional dan brick & mortar untuk melaksanakan dan memperkukuhkan jangkauan pendigitalan. Ia dapat membantu PKS menjana jualan, mengurangkan kos dan meningkatkan keberkesanan perniagaan.

    PKS yang berkelayakan boleh memohon 5 bidang digitalisasi termasuk E-dagang, Pemasaran Digital, Sistem Perakaunan Awan, Sistem Sumber Manusia & Payroll serta Sistem Electronic Point of Sales dan Payment Gateway.

    Syarat kelayakan PKS adalah seperti berikut.

    1. Berdaftar di bawah undang-undang yang berkaitan di Malaysia
    2. Syarikat sekurang-kurangnya 51% dimiliki oleh rakyat Malaysia
    3. Untuk PKS yang mempunyai alamat berdaftar dan beroperasi di Selangor sahaja
    4. Sudah beroperasi sekurang-kurangnya selama 1 tahun
    5. Harus mempunyai perolehan jualan tahunan berjumlah sekurang-kurangnya RM300,000 dan tidak melebihi RM3 juta.
    6. Terhad kepada 1 permohonan bagi setiap PKS sahaja. PKS dibenarkan memohon untuk 3 perkhidmatan digital dengan 1 atau lebih pembekal perkhidmatan yang disahkan oleh SIDEC.

     

    PKS yang berkelayakan boleh memohon 50% geran padanan atau maksima RM5,000 untuk melanggan pembekal perkhidmatan digital yang ditetapkan dan dilulus oleh SIDEC.

    Pada permohonan pusingan pertama dari 15 April hingga 15 Jun 2021, 492 permohonan telah diterima di mana 280 permohonan diluluskan. Jumlah geran yang diluluskan adalah RM1.21 juta.

    Memandangkan permohonan pusingan kedua telah dibuka dari 1 Ogos hingga 31 Oktober 2021, Kerajaan Negeri mengalu-alukan semua PKS Selangor untuk memohon geran padanan tesebut

     

    • Latihan Kepada Usahawan dalam e-Dagang / Perniagaan Online.

    Selain itu, melalui Kerajaan Negeri melalui SITEC juga turut menawarkan latihan kepada usahawan – usahawan yang berminat untuk menceburi aktiviti pemasaran dan perniagaan secara E-Dagang di Negeri Selangor.

           (Sumber : SIDEC)

     

     

    1. Inisiatif Revolusi Pembayaran nirtunai dengan penggunaan Kod QR

    Smart Selangor telah menganjurkan beberapa program bagi membantu SME memperkasakan perniagaan mereka di dalam ekonomi digital. Pada tahun 2018, Smart Selangor telah berkolaborasi dengan Boost (Axiata Digital) bagi mempromosikan SME yang berdaftar dibawah Pihak Berkuasa Tempatan (“PBT”) kepada revolusi pembayaran nirtunai dengan penggunaan kod QR. Promosi dibuat melalui bazaar ramadhan di bawah penyeliaan PBT dimana pada tahun 2019 sebanyak 4000 peniaga telah berdaftar untuk penggunaan Boost kod QR dengan jumlah transaksi  mencecah RM100,000.00.

    (Sumber : SSDU)

     

    1. Smart Selangor SME Platform

    Pada tahun 2020, Smart Selangor telah memperkenalkan Smart Selangor SME Platform dimana ia bertujuan untuk memacu pertumbuhan dan peningkatan prestasi SME yang berdaftar di Selangor melalui automasi pengurusan dan operasi perniagaan, pemasaran digital dan juga e-dagang. Antara rakan-rakan digitalisasi yang terlibat adalah seperti Maybank Sama2 Lokal, Lazada, BungkusIT, Yezza dan Maxis.

     

    Padanan kepada rakan digitalisasi ini dibuat melalui “customer profiling” di mana SME yang berdaftar dengan Smart Selangor SME Platform akan dianalisa melalui sistem dan keputusan padanan adalah berdasarkan keperluan perniagaan mereka. Melalui rakan digitalisasi ini, SME dapat menjalankan perniagaan mereka dengan lebih fokus dan pengembangan perniagaan dapat dibuat dengan bimbingan yang disediakan.

    (Sumber : SSDU)

     

    1. Program Smart Selangor Amazon Web Services (AWS) CloudStart. Ia juga dikenali sebagai Smart Selangor Cloud Accelerator for Enterprises (SCALE).

    SCALE merupakan sebuah program latihan berdurasi 6 bulan yang memfokuskan kepada pengadaptasian teknologi pengkomputeran awan dalam industri.

    Program ini dilaksanakan untuk memberi kemudahan dan sokongan untuk mempertingkatkan sistem perniagaan pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta syarikat-syarikat permulaan (startup), iaitu dengan menyediakan khidmat latihan secara percuma dalam penggunaan platform perngkomputeran awan (cloud computing) AWS Cloud.

    Secara tidak langsung, program SCALE ini juga dilaksanakan bagi membantu para peniaga dan syarikat permulaan untuk mengadaptasi teknologi terkini dalam melaksanakan idea inovatif, sekali gus mendorong mereka untuk mempertingkatkan kecekapan operasi dan menambah peluang inovasi dalam perniagaan.

    (Sumber : SSDU)

     

    1. Inisiatif Selangor Advance

    Selangor Advance merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri yang dilaksanakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI. Inisiatif ini diperkenalkan untuk meningkatkan aliran tunai para usahawan seterusnya membantu perkembangan ekonomi pasca wabak COVID-19 khusus kepada kontraktor dan penyedia perkhidmatan kerajaan dan syarikat swasta yang terpilih. Menerusi inisiatif ini, pihak kontraktor dan penyedia perkhidmatan akan mendapatkan bayaran kerja – kerja yang dijalankan dengan tempoh masa yang singkat. Ini akan dapat membantu pemilik perniagaan memiliki dana yang mencukupi bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

    (Sumber : MBI)

     

  2. Nyatakan jumlah yang telah disalurkan pada tahun 2019, 2020 dan 2021.

    Bagi tempoh 2019 hingga 2021, jumlah peruntukan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi perlaksanaan program – program untuk pengusaha SME adalah sebanyak RM 251,028,295.00

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.