Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
196) BANTUAN KEPADA USAHAWAN AGRO TANI
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah bantuan yang disediakan kerajaan dalam membantu usahawan agro tani?
Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang mengambil kira semua faktor yang boleh memberikan impak untuk jangka masa panjang dan jangka pendek dalam membangunkan sektor pertanian makanan Negeri Selangor termasuk dalam menjadikan Negeri Selangor sebagai hub pertanian dan penternakan.
Dasar PeTA Selangor tersebut adalah seperti berikut;
- Pertanian Bernilai Tinggi
- Pemodenan Pertanian
- Rantaian Bekalan Makanan Yang Lengkap
- Pembangunan Agroprenuer; dan
- Agro Pelancongan
Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai projek dan program untuk menggalakkan serta membantu para petani mengembangkan usaha tani mereka melalui pelbagai bentuk insentif.
Antara Insentif yang disediakan adalah dari segi pembangunan infrastruktur ladang, bantuan input-input dan peralatan pertanian dan juga pembangunan modal insan petani melalui latihan, kursus dan program pemindahan teknologi yang lain. Selain insentif tanaman makanan, Jabatan Pertanian juga membantu dalam membangunkan usahawan-usahawan Industri Asas Tani yang merupakan industri hiliran bagi rantaian bekalan makanan negara.
Jabatan Pertanian menyediakan insentif untuk pembangunan tanaman sayuran dan kontan di bawah PK08 di dalam Rancangan Selangor 1 (RS1) 2021-2025. Di bawah program ini, tiga komponen utama insentif berbentuk pembangunan kawasan dan infrastruktur ladang serta insentif kemudahan input pertanian dan kemudahan lepas tuai serta pembangunan teknologi. Bagi tahun 2024, sebanyak RM500,000.00 diperuntukan untuk petani tanaman kontan Negeri Selangor dengan kadar maksimum RM20,000 per hektar.
Jabatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) mempunyai inisiatif seperti bantuan dalam bentuk benih ternakan, peralatan menternak, bahan binaan kandang, pemakanan ternakan dan homplot (tanaman rumput) melalui beberapa Program Pembangunan iaitu Pembangunan Komoditi Ternakan Ruminan dan Pembangunan Pembiakbakaan Ruminan, Pembangunan Komoditi Ternakan Unggas dan Bukan Ruminan.
Kerajaan Negeri melalui DVS sedang menaik taraf reban-reban sedia ada milik Kerajaan Negeri yang terletak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sabak Bernam, Sepang dan Hulu Selangor yang sedang disewakan kepada penternak tempatan.
Selain itu, sebagai usaha meningkatkan pengeluaran ayam di Negeri Selangor ini, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan melaksanakan projek usahasama dengan Syarikat Pertanian Pertiwi Sdn. Bhd. (Charoen Pokphand – CP) bagi membina ladang ayam pedaging baharu yang mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 3 juta ekor ayam setahun.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) juga melaksanakan Projek Tanaman Jagung Bijirin seluas 300 ekar di Kuala Langat Selatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan ayam diimport.
PKPS juga merancang untuk membangunkan projek ternakan ayam daging iaitu di Hulu Bernam, Hulu Selangor yang dijangka dapat menambah pengeluaran ayam daging sebanyak 300,000 ekor setiap kitaran. Ini menjadikan jumlah pengeluaran ladang ayam PKPS kepada 800,000 ekor ayam setiap kitaran berbanding 500,000 ekor sebelum ini.
Bagi ternakan lembu pedaging dan lembu tenusu, PKPS mempunyai perancangan untuk menjadikan ladang Jelutong Jati, Mukim Sungai Panjang di Daerah Sabak Bernam sebagai projek lembu pedaging manakala projek lembu tenusu akan dilaksanakan di tapak Ladang Projek Sungai Tengi. Kawasan tersebut berkeluasan 142 ekar dan akan dibangunkan menggunakan infrastruktur berteknologi tinggi. Kapasiti kawasan tersebut mampu menampung sebanyak 1200 ekor lembu tenusu.telah memperkenalkan satu inisiatif peningkatan pendapatan petani melalui Pertanian Bernilai Tinggi dimana penanaman tanaman buah-buahan dan sayuran yang bernilai tinggi bermula dari tahun 2020 lagi. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan 12 tanaman bernilai tinggi yang akan diperluaskan penanamannya bagi menjana ekonomi petani di luar bandar melalui aktiviti pertanian yang sama.
Antara tanaman yang giat diperluaskan buat masa ini adalah tanaman melon, halia, cendawan, nanas dan jagung bijian. Melalui program ini, peduduk luar bandar yang merupakan kawasan tumpuan pertanian akan menjana pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan sosioekonomi golongan petani ini.
-
Apakah peranan dan khidmat bantuan yang disediakan oleh pihak pertanian mahupun agensi lain dalam membantu usahawan penternakan ikan air tawar?
Pelbagai bantuan dan khidmat sokongan disediakan kepada penternak akaukultur yang layak seperti bantuan SPeKS Akuakultur, bantuan bencana, Geran Padanan Agropreneur Muda dan lain-lain. Jabatan Perikanan Malaysia menawarkan kursus-kursus berkaitan penternakan akuakultur kepada kumpulan sasar bagi memberi input dan khidmat teknikal dalam operasi penternakan.
Jabatan Perikanan juga menggalakkan penggunaan teknologi kepada penternak akuakuktur seperti Re-Circulating Aquaculture System (RAS), Internet of Things (IoT), auto feeder, bucket rail dan water quality sensors bagi memudahkan pengurusan operasi ternakan akuakultur. Peningkatan teknologi makanan ikan bagi keperluan sumber protein di dalam makanan rumusan ikan dan udang dilaksanakan dengan penggunaan grain pellets dan bahan ramuan kaya karbohidrat seperti rice bran, termasuk inovasi bagi teknologi makanan hidup seperti kultur moina. Penggunaan teknologi bioflok di ladang ternakan juga boleh mengurangkan penggunaan makanan (FCR) ikan sekaligus dapat mengurangkan kos makanan dan dapat menjaga kualiti air ternakan yang boleh mengurangkan kadar kematian ternakan ikan.
Jabatan Perikanan Negeri Selangor juga melaksanakan promosi produk-produk perikanan dan produk hasil tambah yang sedia untuk dimakan dan sedia untuk masak di pameran di tapak-tapak ekspo, festival dan seminar seperti Pameran Agrikultur, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA), Hari Petani dan Penternakan dan Nelayan Kebangsaan termasuklah di platform pameran antabangsa seperti Selangor International Expo (SIE) yang berlangsung setiap tahun di KLCC. Pameran dan aktiviti uji rasa seperti ini memberi peluang kepada usahawan akuakultur mengembangkan rantaian produk terus kepada peruncit dan pengguna untuk mengakses pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa.