Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

238) BANTUAN KEPADA PETANI

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bantuan Kerajaan Negeri untuk membantu petani-petani yang terjejas hasil mereka kerana masalah bencana alam yang tidak dijangka?

    Bantuan bencana bagi sektor agromakanan diselaraskan oleh Jabatan Pertanian. Pihak Jabatan Pertanian akan membuat bancian dan anggaran kos kerosakan untuk dimajukan kepada Tabung Bantuan Bencana Agromakanan yang diputuskan di bawah NADMA.

  2. Apakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menubuhkan satu ladang fedlot di setiap DUN bagi mengatasi masalah lembu terbiar?

    Istilah ladang fidlot adalah ladang yang membeli anak lembu berumur 3 bulan hingga 21 bulan dari tempat lain dan menggemukkan anak-anak lembu ini di dalam kandang sehingga mencapai umur dan berat pasaran (kaedah penternakan fidlot tidak melibatkan aspek pembiakan).  Istilah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk ladang bagi mengatasi masalah lembu terbiar adalah ladang translokasi kerana kebanyakan masalah lembu terbiar disebabkan oleh ladang melibatkan aspek pembiakan seperti lembu tenusu dan lembu pedaging ibu-anak (cow-calf). Dalam ladang translokasi, penyewa-penyewanya dibenarkan melaksanakan projek secara breedlot iaitu boleh membiakkan ternakan tetapi secara intensif iaitu ternakan sentiasa di dalam ladang dan semua makanannya diangkut dari kawasan tanaman rumput dan tempat lain serta diberi di dalam ladang.

    Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menubuhkan satu ladang translokasi di setiap DUN bagi mengatasi masalah lembu terbiar kerana ketiadaan tanah yang sesuai terutamanya di DUN-DUN perbandaran, perindustrian dan penampatan.  Walau bagaimana pun, Kerajaan Negeri tetap berhasrat untuk membangunkan banyak ladang translokasi di seluruh negeri namun lokasinya bergantung kepada kesediaan tanah yang sesuai.  Sebagai contoh, Kerajaan Negeri telah dan sedang membangunkan ladang translokasi di beberapa tempat iaitu

    • Sungai Nilam, Hulu Selangor (telah beroperasi)
    • Olak Lempit, Kuala Langat (akan beroperasi awal 2020)
    • Sg. Gersik, Rasa, Hulu Selangor (proses pewartaan)
    • Sg. Gumut Kalumpang, Hulu Selangor (proses pewartaan)
    • Beting Kepah Sabak Bernam (proses pewartaan).

Lampiran

Tiada Lampiran.