Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

226) BANTUAN KEPADA PESAKIT COVID-19

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bantuan-bantuan yang tersedia untuk pesakit-pesakit COVID-19 di Negeri Selangor?

    Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang sangat prihatin terhadap kesulitan dan kesusahan rakyat, Kerajaan Negeri telah mengatur langkah yang responsif dan inklusif melalui pengumuman Pakej Kita Selangor (PKS) 2.0 pada 9 Jun 2021. PKS 2.0 merupakan pelan pemulihan ekonomi bertujuan untuk menangani penularan wabak, meringankan beban rakyat dan memastikan ekonomi serta pembangunan negeri terus meluncur laju walaupun dihimpit pandemik.  Antara inisiatif yang terdapat dalam PKS 2.0 khusus untuk pesakit Covid-19 di Negeri Selangor adalah bantuan kewangan kepada keluarga pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dan ‘Home Assessment Tool’ (HAT).

     

    Kerajaan Negeri akan memberi sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,000 untuk pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Negeri Selangor dibawah inisiatif bantuan kewangan kepada keluarga pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.  Seramai 1,500 rakyat akan memperoleh manfaat daripada inisiatif ini yang akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 juta.  Manakala inisiatif HAT merupakan salah satu langkah bagi mengatasi kes ‘Brought In Dead’ (BID) yang semakin mencatatkan peningkatan di Negeri Selangor.  HAT merupakan satu bantuan kendiri di rumah melalui penggunaan oximeter.  Inisiatif ini dapat membantu para pesakit yang sedang kuarantin untuk menilai keadaan kesihatan mereka dengan bantuan petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui aplikasi SELangkah.  Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.25 juta bagi tujuan ini.

     

  2. Bagaimana bantuan-bantuan ini dapat diakses?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi bantuan kewangan kepada keluarga pesakit Covid-19 yang meninggal dunia, ahli keluarga boleh memohon melalui laman web Selangor Prihatin di https://www.selangorprihatin.com/. Manakala Home Assesment Tools (HAT) akan diberikan kepada setiap rakyat Negeri Selangor melalui Covid-19 Assessment Centre (CAC) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).  Individu yang didapati positif Covid-19 boleh menghubungi CAC dan PKD berhampiran bagi mendapatkan oximeter

Lampiran

Tiada Lampiran.