Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
212) BANTUAN KEPADA PENGUSAHA BAS PERSIARAN
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bidang pelancongan termasuk pengusaha bas persiaran antara yang paling terjejas dalam pandemik COVID-19, apakah bantuan daripada Kerajaan Negeri kepada mereka?
Kerajaan Negeri pada ketika ini telah melaksanakan dan merancang pelbagai inisiatif dan bantuan bagi membantu perkembangan industri pelancongan di Negeri Selangor. Melalui Pakej Kita Selangor 2.0 Bagi Sektor Pelancongan pada tahun 2021, terdapat pelbagai bentuk bantuan yang disediakan bagi membantu perkembangan dan kebajikan pelbagai sektor dan industri di Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.55 juta bagi tujuan pelaksanaan pakej rangsangan ini untuk membantu para penggiat industri pelancongan dalam Negeri Selangor yang terdiri daripada pelbagai kelompok dan persatuan termasuklah dalam kalangan pengusaha bas persiaran.
Senarai inisiatif dan bantuan di bawah pakej rangsangan ini adalah seperti berikut:-
- Geran Bantuan Kewangan Program/Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor;
- Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0;
- Program Latihan Digital Pembelanjaran Pendigitalan Pelancongan; dan
- Bantuan Kewangan “One-Off” kepada Persatuan Pelancongan.
Pengusaha bas persiaran layak menerima manfaat melalui dua (2) daripada empat (4) inisiatif tersebut iaitu Geran Bantuan Kewangan Program/Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor dan Bantuan Kewangan “One-Off” kepada Persatuan Pelancongan.
Bagi inisiatif Geran Bantuan Kewangan Program/Aktiviti Pelancongan, pihak pengusaha bas pelancongan yang juga merupakan agensi pelancongan dan pengembaraan, layak untuk membuat permohonan di bawah geran bantuan ini. Agensi pelancongan tersebut hendaklah mempunyai lesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta menepati syarat-syarat yang telah digariskan oleh Kerajaan Negeri.
Bagi Bantuan Kewangan kepada Persatuan Pelancongan pula, Kerajaan Negeri Selangor menyediakan bantuan kewangan secara ”one-off” berjumlah RM15,000.00 kepada Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pegusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia) sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri membantu pengusaha-pengusaha bas persiaran.
Nota Tambahan:
Butiran Pakej Kita Selangor 2.0:
- Geran Bantuan Kewangan Program dan Aktiviti Pelancongan;
Melalui pakej rangsangan ini, pihak persatuan atau penggiat industri pelancongan boleh memohon geran bantuan kewangan yang ditawarkan bagi tujuan melaksanakan aktiviti berkaitan promosi industri pelancongan Negeri Selangor tertakluk kepada kelayakan, terma dan syarat yang digariskan. Jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan Kerajaan Negeri di bawah Geran Bantuan Kewangan Program dan Aktiviti Pelancongan ini adalah sebanyak RM1 juta.
Kriteria kelayakan aktiviti / program promosi & pemasaran adalah seperti berikut :
- Pameran Pelancongan
- Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE)
- Misi Jualan
- ”Familiarization” Trip
Amaun yang boleh dituntut adalah berdasarkan satu (1) penyertaan/pelaksanaan, iaitu 50% daripada jumlah perbelanjaan sebenar ATAU mengikut kelayakan maksimum RM20,000.00 yang mana lebih rendah.
- Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0;
Melalui program Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0, penggiat industri pelancongan khususnya agensi pelancongan, pengusaha penginapan pelancongan (Hotel, Bajet Hotel dan Homestay), pengusaha makanan, pengusaha pengangkutan pelancongan dan operator produk pelancongan secara langsung dan tidak langsung akan dapat menerima manfaat baucar bantuan ini. Sebanyak 20,000 baucar bernilai RM50 setiap baucar akan diagihkan melalui e-wallet dan e-baucar kepada orang ramai yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta.
- Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan;
Penggiat industri juga ditawarkan latihan pendigitalan untuk membantu meningkatkan kesedaran, pengetahuan, produktiviti dan pemasaran produk pelancongan secara atas talian di bawah Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan Negeri Selangor. Dengan adanya program berteraskan digital ini, pemain-pemain industri mampu untuk meningkatkan produktiviti pemasaran dan promosi serta ianya secara tidak langsung akan meningkatkan perkembangan ekonomi sektor pelancongan di Negeri Selangor.
- Bantuan Kewangan “One-Off” kepada Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor;
Inisiatif bantuan ini memberi galakkan kepada 17 persatuan pelancongan di Negeri Selangor yang terpilih untuk melaksanakan aktiviti atau program pelancongan yang berupaya meningkatkan semula produktiviti serta pendapatan lebih 1,500 penggiat industri atau ahli yang berada dibawah naungan mereka. Antara persatuan pelancongan yang terpilih termasuklah dari sektor penginapan dan perhotelan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Association Of Hotel Owners (MAHO) dan Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA). Selain itu, Persatuan Gemilang Agensi Pelancongan & Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Malaysia) juga tersenarai sebagai penerima bantuan ini berserta dengan persatuan-persatuan terpilih yang lain. Setiap persatuan diberikan bantuan kewangan ”one-off” sebanyak RM15,000 yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM255,000.