Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

330) BANTUAN KEPADA OKU DEWASA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Selain daripada JKM, adakah kerajaan negeri Selangor menyediakan apa apa inisiatif berkebajikan untuk membantu OKU yang berumur 18 tahun ke atas?

    Kerajaan Negeri menyediakan bantuan Skim Mesra Insan Istimewa yang mencakupi bantuan baucer beli belah berjumlah RM150 secara one-off serta bantuan khairat kematian berjumlah RM500 kepada ahli aktif Skim yang merupakan pemegang kad OKU. Selain itu, Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) adalah terbuka untuk semua golongan yang berkelayakan termasuk golongan Orang Kurang Upaya serta ibu bapa kepada anak istimewa. Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban kos sara hidup terutama mereka yang berpendapatan rendah bagi menampung keperluan kehidupan asas yang semakin mencabar pada masa kini.

  2. Adakah Kerajaan negeri Selangor mempunyai dasar khusus dalam membantu OKU dewasa dalam bidang perniagaan atau peluang pekerjaan yang membolehkan mereka berdikari?

    Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Keusahawan dan Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi memastikan golongan sasar termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) agar mampu menjana ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Di antara tindakan Kerajaan Negeri melalui pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan adalah seperti Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan sebagainya.

    Bagi menyediakan peluang pekerjaan, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Anak Istimewa Selangor juga melaksanakan inisiatif Independent Living Support Centre (ILSC) yang memberi tumpuan kepada OKU berumur 17-22 tahun sebagai persediaan ke alam pekerjaan dan kursus jangka pendek dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Setelah OKU menjalani latihan, proses padanan kerja akan dilaksanakan menerusi kerjasama Pusat Satelit PERKESO.

  3. Adakah Kerajaan negeri mempunyai kuota khas dari segi bantuan perumahan negeri untuk membolehkan golongan OKU mempunyai rumah sendiri?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri juga turut memberikan keutamaan tawaran kepada golongan OKU yang berminat untuk memiliki Rumah Selangorku dengan penyediaan unit-unit bagi OKU di tingkat bawah khas untuk golongan OKU yang terhad dari segi pergerakan (mobility impaired), Dasar Rumah Selangorku 3.0 yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri turut mensyaratkan pemaju agar mematuhi keperluan OKU melalui pematuhan garis panduan Malaysia Standard MS1184 “Code of Practice on Access For Disable Person To Public Buildings”.

    Melalui garis panduan ini, setiap unit Rumah Selangorku yang dibina akan disyaratkan menyediakan kemudahan dan fasiliti mesra OKU bagi membolehkan golongan tersebut mengakses kediaman mereka dan setiap fasiliti yang disediakan dalam sesuatu pembangunan Rumah Selangorku. Oleh yang demikian, golongan OKU yang tidak tergolong dalam kategori mobility impaired boleh memiliki mana-mana unit yang dikehendaki dan tidak terhad di unit di tingkat bawah. Pemilihan penawaran nama juga dibuat khusus kepada pemohon dikalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk ditawarkan unit OKU.

Lampiran

Tiada Lampiran.