Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
162) BANTUAN KEPADA GOLONGAN MISKIN TEGAR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah kerajaan untuk mempertingkatkan bantuan kepada golongan miskin tegar, terutamanya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup?
Untuk makluman Yang Berhormat Teratai, Kerajaan Negeri sentiasa peka dalam membantu golongan miskin tegar dan B40 di negeri ini dalam mengurangkan bebanan yang disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup. Sehubungan dengan itu, Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan satu inisiatif yang menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu golongan miskin tegar dan B40 dalam menangani bebanan yang disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup. Program-program ISP dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara-antara program yang boleh disasarkan atau yang boleh dipohon oleh golongan miskin tegar dan B40 adalah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Bas Smart Selangor dan Program Jualan Ehsan Rakyat (JER) yang diadakan secara berkala mengikut DUN.
Program-program ISP ini diyakini dapat mencapai motif utama untuk membantu mengurangkan kesan terhadap kenaikan kos sara hidup dan juga dapat membantu menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekaligus dapat membantu golongan miskin tegar dan B40 dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup samada di bandar atau luar bandar. Namun begitu, program-program yang dilaksanakan ini tidak mampu menangani masalah kenaikan kos sara hidup secara menyeluruh, namun secara tidak langsung ianya dilihat berupaya membantu meringankan beban rakyat negeri Selangor secara amnya dalam menjalani kehidupan seharian disamping dapat membantu meningkatkan pendapatan seisi keluarga.
-
Nyatakan 10 Program Itizam Selangor Penyayang yang paling tidak disambut baik sejak dilaksanakan sehingga kini.
Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat Teratai, kesemua 46 program di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) telah disambut baik oleh rakyat di Selangor kerana program-program yang disediakan adalah merangkumi kebajikan yang diperlukan oleh seluruh lapisan masyarakat di Selangor tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menambahbaik pelaksanaan program-program ISP untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Sebagai kerajaan yang prihatin dengan golongan yang kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri sentiasa meneliti kaedah terbaik dan memfokuskan kebajikan agar rakyat Selangor bersama-sama turut menikmati hasil kekayaan negeri Selangor.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam mempehalusi dan memperbaikan program inisiatif yang sedia?
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan golongan yang kurang berkemampuan untuk menjalani kehidupan yang semakin membebankan. Melalui program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan yang mengambilkira tahap ekonomi dan pendapatan seisi rumah.
Antara program ISP telah ditambahbaik adalah program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor atau BINGKAS. Program ini dahulunya dikenali dengan nama Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang memberikan bantuan perbelanjaan bulanan sebanyak RM200 dan pada tahun 2023 penambahbaikan dilakukan dengan pemberian perbelanjaan sebanyak RM300 sebulan bagi kegunaan pembelian barangan keperluan asas dan peralatan pendidikan. Peningkatan jumlah pemberian ini telah mengambilkira kos sara hidup yang semakin tinggi saban tahun. Syarat permohonan program BINGKAS turut diperluaskan lagi kepada keluarga yang mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) orang anak berusia 18 tahun dan ke bawah berbanding sebelum ini disyaratkan kepada keluarga yang mempunyai tanggungan anak berusia 21 tahun ke bawah.
Jika sebelum ini program Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) telah banyak membantu usahawan mikro di Selangor meningkatkan hasil jualan dan pendapatan, bermula tahun 2023 program ini telah diberikan nafas baharu menjadi Dana Usahawan Madani Selangor dengan memperluaskan lagi kepada perusahaan dari sektor ekonomi kreatif. Bantuan dana ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat para usahawan dari pelbagai sektor yang memenuhi syarat kelayakan untuk terus mempelbagaikan dan mengkormesialkan produk-prodk mereka.
Justeru itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa meneliti dan memastikan program yang memberikan inisatif kepada rakyat ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang benar-benar memerlukan.