Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

13) BANTUAN KEPADA GENERASI MUDA

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil Kerajaan Negeri bagi membantu generasi muda tersebut yang ingin mula berniaga selepas mereka menamatkan pengajian mereka selain dari memberikan latihan asas serta pinjaman perniagaan?

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan para graduan lepasan IPTA/IPTS dalam mencari peluang kerjaya. Sehubungan dengan itu, pelbagai inisiatif dilakukan dalam membangunkan kerjaya para lepasan graduan ini terutamanya dalam bidang keusahawanan. Sehingga kini terdapat dua (2) jenis bantuan peralatan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri iaitu bantuan Blueprint di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan dan bantuan perniagaan oleh Jawatankuasa Tetap Usahawan. Bagi bantuan Blueprint di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, syarat-syarat permohonan adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,500.00 sebulan dan perlu mempunyai asas perniagaan. Manakala bagi bantuan perniagaan di bawah Jawatankuasa Tetap Usahawan, perniagaan mestilah beroperasi sekurang-kurangnya dua (2) tahun dan tidak melebihi RM5,000.00 bagi pendapatan perniagaan sebulan.

    Walaupun begitu, Kerajaan Negeri telah memulakan Pinjaman Mikro Kredit iaitu Yayasan Dar Al Qard Al Hassan Selangor di bawah Y.B Dato’ Hj Hassan Bin Mohamed Ali. Pinjaman ini dibuka kepada yang sedang dan ingin memulakan perniagaan di Selangor yang mana pinjamannya adalah sehingga RM20,000.00. Sebanyak RM 70 juta telah diperuntukkan bagi tabung Yayasan Dar Al Qard Al Hassan Selangor ini.

    Oleh yang demikian, para graduan adalah disarankan untuk memohon pinjaman di bawah tabung ini.

  2. Berapa lamakah bantuan tersebut disalurkan kepada mereka?

    Bagi permohonan Blueprint di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan yang lulus, bantuan tersebut akan disalurkan dalam masa 4 bulan dari tarikh permohonan . Manakala bagi bantuan di bawah Jawatankuasa Tetap Usahawan, penyaluran bantuan ini disalurkan pada setahun sekali.

                 

Lampiran

Tiada Lampiran.