Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
82) BANTUAN KEPADA ANAK-ANAK ISTIMEWA (OKU)
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah program dan bantuan Kerajaan Negeri kepada golongan OKU?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) telah menjalankan aktiviti pembangunan dan pemberdayaan anak-anak istimewa di Selangor sejak daripada tahun 2020. Antara program-program yang dijalankan adalah seperti berikut:
PUSAT ANIS
Pusat Sokongan Awal Anak Istimewa Selangor merupakan sebuah Pusat yang membantu meringankan beban dengan menyediakan perkhidmatan intervensi awal bagi kanak-kanak istimewa kelahiran Negeri Selangor berumur antara 4-6 tahun. Pusat ANIS juga menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk murid-murid bekeperluan khas seiring dengan perkembangan murid.
Selain itu, ianya juga memberdaya golongan ibu bapa dengan ilmu bagi memastikan kemenjadian Anak Istimewa.
SARINGAN AWAL ANIS
Saringan Awal ANIS ini membantu ibu bapa dalam mengenal pasti tahap perkembangan anak. Ianya juga dijalankan secara percuma dan membantu ibu bapa dalam mengurangkan kos perbelanjaan proses saringan awal. Mempercepatkan proses untuk mendapatkan diagnosis lewat perkembangan yang dialami oleh anak. Selain itu, membantu memudahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengeluarkan kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada kanak-kanak yang terlibat.
INDEPENDENT LIVING SUPPORT CENTRE (ILSC)
Independent Living Support Centre (ILSC) merupakan sebuah Pusat yang menyediakan kursus kemahiran kepada golongan OKU Pembelajaran yang berumur 17 hingga 25 tahun serta menyediakan penempatan pekerjaan selepas tamat kursus selama 3 hingga 6 bulan.
CEREBRAL PALSY CARE UNIT (CPCU)
Program ini berfungsi sebagai inisiatif khusus yang bertujuan untuk menangani keperluan spesifik individu dengan kecacatan fizikal, terutamanya mereka yang hidup dengan CP dan memerlukan rawatan khusus untuk tempoh tertentu.
Program CP Care Unit di Selangor menawarkan perkhidmatan penjagaan dan pemulihan yang komprehensif yang disesuaikan dengan cabaran unik yang dihadapi oleh individu dengan CP. Ia memberi tumpuan kepada peningkatan kesejahteraan mereka secara keseluruhan, meningkatkan keupayaan fizikal mereka, dan mempromosikan integrasi sosial.
AKADEMI ANIS
Program berbentuk seminar dan kursus yang dianjurkan bertujuan memberikan sokongan dan bimbingan kepada golongan yang terlibat dalam pengendalian anak OKU. Program ini menyasarkan penyertaan ibu bapa, guru-guru, pengusaha taska & tadika serta sukarelawan. Jabatan ANIS telah bekerjasama dengan pusat terapi di seluruh Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam penganjuran program-program di bawah Akademi ANIS.
DIDIK ANIS
Program Didik ANIS ini dibuka khusus kepada semua Institusi Pendidikan Anak Istimewa iaitu Pusat Early Intervention Programme (EIP), Pusat Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang berdaftar di Selangor sahaja. Pemberian bantuan program kepada penjaga ataupun golongan OKU sendiri sebanyak RM5000 membantu memperkasa dan meningkatkan kemahiran khususnya buat penjaga dalam menguruskan anak-anak istimewa.
Bantuan Khas ANIS
Program BKA merupakan bantuan subsidi yuran, bantuan ubat-ubatan dan keperluan harian, serta bantuan peralatan kepada anak-anak istimewa di Selangor. Bantuan sehingga RM5,000 satu keluarga disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan beban menjaga dan membesarkan anak-anak istimewa.
-
Berapakah jumlah OKU yang berdaftar di daerah Klang dan DUN Sungai Kandis?
Sehingga 30 September 2024, terdapat 20,131 OKU berdaftar di Daerah Klang. Daripada jumlah tersebut. Terdapat seramai 4,123 OKU yang berdaftar di DUN Sungai Kandis. Bilangan OKU mengikut kategori OKU adalah seperti berikut:
-
Adakah Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan kepada rumah kebajikan OKU?
Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan kepada rumah kebajikan termasuk bagi golongan OKU melalui Program Pusat Kebajikan Lestari iaitu bantuan geran untuk pembelian peralatan perubatan dan kesihatan serta lain-lain keperluan untuk memberdaya penghuni rumah kebajikan. Antaranya adalah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK). Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan bagi program ini adalah sebanyak RM150,000.00.