Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013
103) BANTUAN KEBAJIKAN JKM
Tahun: 2013
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Amirudin Bin Shari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah kadar bantuan bulanan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan negeri untuk penerima bantuan kemiskinan jabatan kebajikan masyarakat?
Kadar Bantuan Am yang ditetapkan oleh kerajaan negeri adalah dari RM100 hingga RM175
-
Adakah pihak kerajaan negeri berhasrat ingin menaikkan kadar bantuan bulanan dari kerajaan negeri kepada kadar yang lebih realistik dalam keadaan kegawatan ekonomi?
Pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat menyambut baik cadangan yang diberikan berikutan peningkatan taraf hidup masyarakat pada masa kini. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, pada masa sekarang, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukkan khas Bantuan Am yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor kepada penerima yang dikenal pasti layak menerima bantuan ini dengan kadar yang diluluskan antara RM100.00 hingga RM175.00 sebulan bagi setiap keluarga. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri berpendapat bahawa dengan memberi bantuan berbentuk kewangan secara berterusan tidak dapat membantu menyelesaikan masalah penerima bantuan keluar dari kelompok kemiskinan. Bagi menghadapi kegawatan ekonomi, bermula tahun 2010, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan telah mengubah polisi kebajikan dari bantuan kewangan kepada bantuan berpendapatan (welfare to workfare) kepada penerima bantuan. Melalui polisi ini, penerima bantuan akan dikenal pasti dan diberikan latihan kemahiran yang bersesuaian dan berpotensi untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Pelbagai tawaran kursus dan latihan kemahiran telah disediakan kepada penerima bantuan bagi membantu mereka mengubah cara hidup kepada sikap untuk berusaha menjana pendapatan bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa seterusnya dapat mengeluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan. Antara bantuan berpendapatan yang disediakan
adalah melalui skim mikro kredit kepada golongan yang berpendapatan rendah sama ada di luar bandar (SKIMSEL) atau di bandar (MiMBAR) dan dikenal pasti berpotensi untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan.
-
Berapa ramai penerima bantuan daripada kerajaan negeri, sila kemukakan mengikut daerah?
Jumlah penerima Bantuan Am mengikut pecahan daerah bagi September 2013 adalah seperti jadual di bawah :
BIL PEJABAT KEBAJIKAN MASYARAKAT DAERAH (PKMD)
BIL. PENERIMA BANTUAN 1 KLANG 1,594 2 GOMBAK 668 3 PETALING JAYA 516 4 HULU LANGAT 1,134 5 KUALA LANGAT 1,024 6 HULU SELANGOR 1,294 7 SEPANG 723 9 KUALA SELANGOR 1,165 10 SABAK BERNAM 639 11 SUBANG JAYA 386 12 SHAH ALAM 255 JUMLAH 9,398