Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
73) BANTUAN KEBAJIKAN
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah ahli Skim Mesra Usia Emas yang tidak hadir/menuntut baucer program JOM Shopping SMUE 2020? Adakah Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan untuk menukarkannya kepada konsep e-wallet, baucer, atau kad KISS yang dimasukkan sekali maklumat skim khairat SMUE?
Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Pelek, Program Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) mula diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri pada Mei 2019. Sepanjang tahun 2020, seramai 294,212 ahli SMUE telah berdaftar untuk menerima manfaat ini, dan daripada jumlah tersebut 145,357 ahli menikmati manfaat Jom Shopping SMUE ini. Seramai 148,855 ahli SMUE yang tidak dapat menghadiri majlis pemberian baucar Jom Shopping SMUE atau tidak menuntut baucar tersebut bagi sepanjang tahun 2020. Bilangan ini adalah agak tinggi disebabkan pandemik Covid-19 yang baharu melanda negara pada ketika itu, yang mana ahli-ahli SMUE yang sangat berisiko di kalangan warga emas dan OKU merasa risau dan bimbang akan keselamatan dan kesihatan diri mereka.
Untuk makluman awal Yang Berhormat Sungai Pelek, Kerajaan Negeri bersama-sama pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) selaku agensi pelaksana Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sedang dalam proses mengkaji kebolehlaksanaan untuk mendigitalisasikan Program SMUE, iaitu kedua-dua Program Jom Shopping dan Skim Khairat, menggunakan sistem aplikasi e-baucar, e-wallet atau kad pintar memandangkan keadaan pandemik yang perlukan pengurusan program secara contactless dan selamat, khasnya program Jom Shopping SMUE yang melibatkan golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Walau bagaimanapun, ianya masih di peringkat perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat. Perkara ini sememangnya akan dilaksanakan agar sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor ke arah Smart State menjelang tahun 2025.