Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
173) BANTUAN IBU TUNGGAL
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah bantuan dan usaha yang telah dilaksanakan dalam membantu golongan ibu tunggal untuk menampung kos sara hidup mereka dan tanggungannya?
Kerajaan Negeri memandang serius terhadap isu yang dihadapi oleh golongan ibu tunggal dan sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk menyediakan bantuan kepada mereka. Kerajaan Negeri menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap DUN, melaksanakan pelbagai usaha memberdaya wanita termasuklah golongan ibu tunggal. PWB menyediakan 2 modul iaitu pembangunan kapasiti dan kemahiran yang dapat membantu penerima manfaat menjana pendapatan seperti program masakan, pembuatan kraftangan, jejak usahawan, keterampilan diri wanita dan lain-lain program. Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Keusahawan dan Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi memastikan golongan sasar termasuk ibu tunggal agar mampu menjana ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Di antara tindakan Kerajaan Negeri melalui pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan adalah seperti Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan sebagainya.
-
Adakah kerajaan bercadang menambah baik skim bantuan sedia kepada golongan B40 terutama yang mempunyai anak yang ramai dalam memastikan kewangan mereka berada pada tahap yang baik?
Kerajaan Negeri merancang untuk menambah baik program bantuan kebajikan sedia ada bagi memberdaya penerima manfaat dalam kalangan B40 selain daripada bantuan kewangan yang diberikan seperti BINGKAS. Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah:
- Kerajaan Negeri akan mengkaji pelaksanaan dasar pemisah (exit policy) yang bertujuan untuk memberdaya penerima bantuan seperti BINGKAS. Menurut kajian daripada World Health Organization (WHO) dasar pemisah (exit policy) yang terbaik adalah selama 18 bulan. Justeru itu, dasar pemisah (exit policy) diperkenalkan bagi penerima bantuan BINGKAS untuk menggalakkan penerima meningkatkan tahap sosio-ekonomi keluarga menerusi inisiatif lain yang ditawarkan Kerajaan. Sebagai contoh, Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan sebagainya.
- Selain itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Kolokium Kebajikan Negeri Selangor dan Program Penanda Aras bagi mendapatkan input amalan terbaik dan strategi lain bagi meningkatkan tahap kesejahteraan dan kemampanan ekonomi rakyat.